am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Beroperasi pada waktu malam, menggunakan bot kecil, menyamar sebagai nelayan tempatan dengan memalsukan nombor pendaftaran bot termasuk mengubah suai Sistem Pengesanan Automatik (AIS).
Itu antara modus operandi licik nelayan warga asing apabila sentiasa mengubah taktik bagi mengelakkan daripada dikesan pihak berkuasa Malaysia sebelum rakus merompak hasil negara.
Mendedahkan perkara itu, Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, sebahagian nelayan asing kini menggunakan peralatan berteknologi tinggi pada bot masing-masing.
Menurutnya, peralatan itu termasuk sistem navigasi GPS (sistem kedudukan sejagat), komunikasi satelit dan sistem AIS yang diubah suai atau dipadamkan untuk mengelakkan dikesan.
Katanya, nelayan asing sentiasa mengubah kaedah operasi mereka bagi mengelakkan dikesan termasuk beroperasi pada waktu malam, menggunakan bot kecil untuk menyelinap masuk, serta menyamar sebagai nelayan tempatan dengan memalsukan nombor pendaftaran bot.
“Selain itu, mereka turut menggunakan bot sokongan seperti Bot Induk (Mother Boat) yang lebih besar untuk mempercepatkan pemindahan hasil laut dan mendapatkan bekalan logistik tambahan seperti makanan, minuman dan minyak.
“Dengan cara ini, mereka dapat berada di laut dalam tempoh lebih lama tanpa perlu pulang ke pangkalan untuk menghantar hasil laut.
“Taktik ini membolehkan mereka melaksanakan operasi keluar masuk perairan negara secara terancang dan terselindung, sekali gus menyukarkan usaha pengesanan dan ditahan oleh pihak berkuasa,” katanya secara eksklusif kepada Harian Metro.
Beliau berkata, perubahan taktik ini menuntut APMM untuk sentiasa mengemas kini strategi risikan, rondaan dan kaedah penguatkuasaan bagi memastikan keberkesanan dalam membanteras pencerobohan.
“Buat masa ini, bot nelayan Vietnam banyak beroperasi di kawasan sempadan perairan dan dilindungi oleh pihak berkuasa negara terbabit.
“Oleh itu, apabila terdapat aset peronda di kawasan sempadan, kapal milik pihak berkuasa Vietnam akan memaklumkan kepada bot nelayan yang lain supaya beredar,” katanya.
Katanya, bagi bot nelayan Indonesia pula mereka menggunakan bot kayu tradisional, beroperasi secara berkumpulan antara lima hingga enam bot dan akan berada di laut sehingga bekalan makanan serta minyak habis untuk tempoh kebiasaannya selama lima hari.
“Mereka menggunakan peralatan rawai untuk menangkap ikan. Kapal APMM yang beroperasi di laut boleh mengesan kontak ini melalui radar kapal.
“Sekiranya ditahan oleh pihak berkuasa, alasan yang sering diberikan oleh bot nelayan Indonesia ini ialah bot mengalami kerosakan atau hanyut ke perairan Malaysia akibat ribut,” katanya.
Katanya, berdasarkan rekod operasi APMM, beberapa bentuk tindakan provokasi dikenal pasti dan sering digunakan oleh bot nelayan Vietnam, antaranya berkumpul dalam formasi berkumpulan (swarming tactic) untuk mengepung atau menghalang aset penguat kuasa menghampiri bot sasaran.
“Mereka juga melakukan pergerakan merbahaya atau ‘zigzagging’, menghimpit atau hampir melanggar bot penguat kuasa sebagai taktik halangan.
“Menyalurkan isyarat radio kepada bot lain, termasuk bot yang berada berhampiran sempadan untuk memaklumkan kehadiran APMM bagi mengelak ditahan,” katanya.
Katanya, mereka juga melarikan diri ke kawasan sempadan atau keluar dari perairan Malaysia dengan kelajuan tinggi, sekali gus menghindari proses tangkapan.
“Dalam sesetengah kes, bot nelayan asing turut melepaskan objek ke laut seperti tali dan pukat bagi menghalang kelajuan atau laluan kapal dan bot APMM.
“Apabila diperiksa dan penggeledahan dilakukan, terdapat beberapa kes, pegawai dan anggota APMM diserang dengan objek tajam seperti parang dan menyebabkan pegawai dan anggota mengalami kecederaan,” katanya.
Katanya, walaupun berdepan cabaran, APMM tetap komited menjaga keselamatan perairan negara.
“Sebagai barisan hadapan keselamatan maritim, APMM memastikan setiap inci perairan Malaysia dipantau dan dilindungi daripada ancaman, terutamanya oleh vesel nelayan asing,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd