am@hmetro.com.my
Georgetown: Pegawai kewangan sebuah syarikat perkhidmatan perundingan di Pulau Pinang kerugian sebanyak RM4.17 juta selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan dalam talian.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, laporan berkenaan dibuat wanita berusia 60 tahun itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, di sini, semalam.
Katanya, menurut laporan itu, mangsa mendakwa ditipu selepas tertarik dengan satu iklan pelaburan saham di aplikasi Facebook yang memaparkan pautan berkaitan dengan menjanjikan pulangan keuntungan lumayan dalam tempoh singkat.
“Mangsa kemudian berhubung dengan seorang suspek wanita menerusi aplikasi WhatsApp sebelum dimasukkan ke dalam kumpulan tersebut.
“Terpengaruh dengan janji berkenaan, mangsa diminta memuat turun aplikasi menerusi pautan yang diberi suspek bagi daftar keahlian dan mulakan pelaburan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mengulas lanjut Hamzah berkata, mangsa sudah melakukan sebanyak 76 transaksi pindahan wang ke dalam lapan akaun bank milik syarikat yang berbeza antara 10 Mac hingga 13 Jun lalu dengan keseluruhan kerugian direkodkan adalah sebanyak RM4,171,000.
Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas gagal membuat pengeluaran keuntungan melalui aplikasi berkenaan dan diminta membuat bayaran tambahan bagi proses pengeluaran.
“Mangsa kemudian tampil membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu.
© New Straits Times Press (M) Bhd