georgie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyampai radio, Kieran, 50, sangat teruja dapat kembali bertugas di stesen radio sekali gus mengubat rindunya walaupun bertugas separuh masa saja.
Kieran atau nama sebenarnya Maskiran Jakiran yang sudah ke udara di stesen radio Kool 101 berkata, dia tidak boleh menipu keinginannya yang membuak-buak untuk kembali ke udara itu memandangkan kerjaya itu sangat dekat dalam dirinya.
“Ramai kenal saya sebagai penyampai radio sejak 1999 lagi dan pernah bertugas di empat stesen radio sebelum bergerak secara separuh masa pada 2014. Memang tak boleh tipu saya rindu suasana di konti itu.
“Ada hikmahnya saya diuji sakit tahun lalu apabila Kool 101 datang jumpa dan minta saya kembali ke udara. Tercapai juga impian saya ketika itu yang teringin kembali bertugas sebagai penyampai radio.
“Lagipun, ramai juga kerap bertanya bila saya nak kembali selepas Fafau (Fara Fauzana) dan FBI (Faizal Ismail) turut berbuat demikian,” katanya yang bersiaran setiap Rabu, jam 10 pagi bermula hari ini.
Dalam pada teruja, Kieran mengakui terbit sedikit rasa takut kerana sistem di konti sekarang jauh lebih canggih. Bagaimanapun, dia sedia menyahut cabaran dan berazam menjadi penyampai yang boleh memberi impak positif.
“Memang rasa seronok sangat selepas ‘on air’ hari ini, ada pemanggil masuk, reaksi di media sosial, WhatsApp pun luar biasa. Dari dulu reaksi begitulah menjadi motivasi untuk saya lakukan yang terbaik.
“Rasa tak sabar pun ada untuk bertugas minggu seterusnya, namun ada takut sedikitlah nak kendalikan alatan baharu yang canggih. Saya akan pastikan isi penyampaian saya bermaklumat dan sentiasa positif,” katanya.
Dalam pada itu, Kieran bersyukur semakin pulih dari kanser prostat sebelum ini. Walaupun belum sembuh sepenuhnya, dia berkata sel kanser dalam badannya kini berkurangan.
Menurutnya, dia masih dipantau doktor selepas mengesan sel kanser yang masih tinggal ketika membuat imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) sebanyak dua kali selepas pembedahan itu.
“Selepas menjalani pembedahan membuang sel kanser bahagian kiri prostat pada Februari lalu, doktor mengesan ada sel kanser di sekitar jantung dan tulang belakang. Tapi, ia sangat minimum.
“Saya masih perlu menjalani pemantauan tiga bulan sekali. Dari segi tenaga pun masih belum pulih sepenuhnya. Masih ada sakit-sakit terutama di bahagian dibedah itu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd