Bank Rakyat lengkapi agihan 16,890 pek daging korban untuk asnaf

Bank Rakyat lengkapi agihan 16,890 pek daging korban untuk asnaf

kartika@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Bank Rakyat melengkapkan pelaksanaan program Hulurkan Salam Aidiladha 2025 dengan agihan keseluruhan sebanyak 16,890 pek daging korban di 18 lokasi seluruh negara termasuk lokasi penutup di Menara Kembar Bank Rakyat, di sini.

Program tahunan ini antara inisiatif tanggungjawab sosial korporat Bank Rakyat dalam memperkukuh hubungan dengan masyarakat, terutama asnaf dan mereka yang memerlukan sempena Hari Raya Aidiladha, baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd Shariff berkata, pelaksanaan ibadah korban pada tahun ini membabitkan penyembelihan sebanyak 241 ekor lembu dan 159 ekor kambing di seluruh negara.

“Agihan daging korban dalam negara adalah daripada pemegang Akaun Simpanan-i Tabung Qurban dan Surau AlBarakah MKBR berjumlah lebih berjumlah RM1.52 juta,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, program ini dilaksanakan melalui kerjasama strategik bersama 18 rakan strategik terdiri daripada institusi masjid, sekolah, institusi pengajian tinggi, agensi, komuniti dan sektor korporat bagi memastikan agihan daging korban sampai kepada kumpulan sasar.

“Bank Rakyat sentiasa prihatin terhadap usaha memakmurkan masyarakat setempat kerana keteguhannya adalah berkat sokongan anggota dan pelanggan di pelusuk negara,” katanya.

Selain itu, Akaun Simpanan-i Tabung Qurban yang diperkenalkan pada 1 Ogos 2017 berperanan sebagai platform simpanan berkala atau sekali gus untuk tujuan ibadah korban.

Melalui konsep Wakalah Bil Ujrah, pelanggan melantik Bank Rakyat sebagai ejen pelaksana, manakala urusan sembelihan dilaksanakan oleh sub ejen bertauliah yang dilantik oleh bank.

Akaun ini turut dilengkapi kemudahan kad ATM dan akses perbankan digital melalui platform iRakyat.

Pada majlis sama, Bank Rakyat turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM22,500 bagi tujuan bantuan asnaf dan pelaksanaan aktiviti pengimarahan.

Di peringkat antarabangsa, Bank Rakyat meneruskan pelaksanaan program Kembara Qurban Kemboja 2025 yang diadakan di Kampung Trapeng Prinh dan Kampung Keh, Kemboja pada 6 hingga 9 Jun lalu.

Sebanyak 45 ekor lembu dikorbankan di kedua-dua lokasi terbabit dan diagihkan kepada komuniti Islam setempat.

“Inisiatif ini mencerminkan keprihatinan Bank Rakyat dalam memperkukuh jaringan kemasyarakatan serta menyemarakkan nilai keinsanan dan perpaduan,” katanya.

Bank Rakyat turut menawarkan produk Akaun Simpanan-i untuk Ibadah Umrah, yang membantu pelanggan menyimpan secara konsisten untuk menunaikan ibadah umrah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top