Kota Bharu: Warga Thailand yang menjalankan perniagaan atau berkahwin di Kelantan digalak mendaftarkan diri dengan Konsulat Diraja Thailand bagi memastikan kebajikan dan keselamatan terpelihara.
Konsulat Jeneral Thailand di Kelantan Phasit Chudabuddhi berkata pendaftaran itu juga bagi memantau warga Thailand tidak terbabit dengan aktiviti yang melanggar undang-undang negara ini.
Beliau berkata walaupun ia bukan tindakan wajib, mendaftar diri membolehkan pihak konsulat membantu mereka jika berdepan sebarang masalah.
“Setakat ini, kami menganggarkan 300 warga Thailand yang bekerja, berniaga dan berkahwin di Kelantan mendaftar dengan konsulat setiap tahun. Jumlah ini tidak statik kerana berlaku pergerakan pergi balik antara Thailand dan Kelantan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Thai Cooking Contest 2025 di Pejabat Konsulat Diraja Thailand di sini hari ini.
Phasit berkata pihak konsulat juga mengambil pendekatan menggunakan media sosial sebagai saluran sebaran maklumat dan hebahan berkaitan kepentingan menjaga hubungan kedua-dua negara.
Mengenai pertandingan masakan itu, beliau berkata ia bukan sahaja memberi peluang kepada pemilik kedai di Kelantan mempelajari masakan sebenar tomyam, tetapi juga mengukuhkan hubungan sedia ada.
“Acara hari ini bukan hanya berkisar tentang masakan tetapi juga meraikan kreativiti serta budaya selain membina persahabatan dan persefahaman antara Thailand dan Malaysia menerusi makanan,” katanya.
Sebanyak tujuh pemilik kedai tomyam di Kelantan menyertai pertandingan itu dengan pemilik restoran D’ Basar dari Tumpat muncul juara selepas tomyam yang dihasilkan paling sama dari segi rasa, warna dan kepekatan tomyam asli Thailand.
© New Straits Times Press (M) Bhd
