am@hmetro.com.my
Kuala Langat: Pelajar Kolej Vokasional Banting yang dalam perjalanan pulang ke rumah maut selepas motosikal ditunggang dirempuh lori di Kilometer 32 Jalan Klang-Banting-Port Dickson, dekat Jambatan Telok Datok, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi berkata, nahas berlaku pada 5.10 petang ketika remaja lelaki berusia 17 tahun itu dalam perjalanan dari Telok Datok menghala Banting.
“Siasatan mendapati mangsa disyaki hilang kawalan dan jatuh ke lorong kanan. Kemudian, datang lori dipandu lelaki 50-an melanggar hingga mangsa serta motosikalnya terperosok di bawah kenderaan berat itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, mangsa parah di kepala akibat digilis tayar belakang lori dan mayat dihantar ke Hospital Banting untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya yang meminta orang ramai mempunyai maklumat supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Kes Inspektor Nor Baiti Mustafa di talian 03-31872222 atau 014-5006072 mana-mana balai polis terdekat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




