Shasha kagum bakat Aaisyah Dhia Rana

Shasha kagum bakat Aaisyah Dhia Rana

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Anggota kumpulan Elite, Shasha Saidin, 49, bangga dan menyokong penuh bakat semula jadi anak saudaranya, Aaisyah Dhia Rana, 11, yang meminati bidang peragaan.

Shasha berkata, dia turut kagum melihat keyakinan diri ditunjukkan Aaisyah ketika bergambar, termasuk video dihasilkan anak perempuan pasangan pelakon Rozita Che Wan dan Zain Saidin itu di media sosial.

“Kalau tengok gaya Aaishah dalam penampilannya persis model. Malah, saya tahu ramai juga netizen mengaitkan gayanya itu mirip macam saya. Tapi, tidak apalah sudah minatnya.

“Saya tak kisah pun kalau dia (Aaishah) nak ikut jejak jadi artis, terpulang kepadanya. Saya juga baru-baru ini ada berikan banyak baju-baju lama saya kepadanya dan dia terima,” katanya.

Menurut Shasha, hubungannya dan Aaishah memang rapat dan dia suka luangkan masa bersama, termasuk kanak-kanak itu banyak belajar mengenai fesyen daripadanya dan Rozita sendiri.

“Cuma, baru-baru ini ketika kami sekeluarga keluar makan bersama, saya tengok Aaishah siap buat ‘live’ di TikTok dengan gaya bersahaja dan dia ada bakat.

“Tapi, mungkin begitulah cara budak-budak sekarang, dah lain. Macam saya dulu pun, suka nak ‘explore’. Jadi, kalau ada masa memang saya suka keluar dengan Aaishah,” katanya.

Shasha berkata, sebenarnya ramai yang mendakwa Aaishah lebih mengikut dirinya, manakala anak lelakinya, Adam Aryasenna Notosomarsono pula dikatakan seiras adiknya, Zain.

Dalam perkembangan lain, Shasha dan Elite buat julung kali bakal menjayakan Konsert Elite Live ’25 di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 20 September ini.

Konsert berskala besar selepas 30 tahun penubuhan Elite itu dibawakan penganjur, Icon Entertainment, Iman Tang atas permintaan ramai.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top