'Serah kepada MKT buat keputusan' – Zahid Hamidi

'Serah kepada MKT buat keputusan' – Zahid Hamidi

mahani@bh.com.my

Petaling Jaya: Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Zahidi menyerahkan kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) untuk membuat keputusan berhubung usul bagi menerima kembali kemasukan Ahli Parlimen Sembrong Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Bagaimanapun Timbalan Perdana Menteri berkata, sehingga kini tiada sebarang rayuan atau permohonan daripada bekas Naib Presiden UMNO itu selepas penggantungan keahliannya pada Januari 2023.

“Berikutan tiada satu surat rayuan oleh orang itu, maka saya menyerahkan kepada MKT untuk menentukannya.

“Kita akan menunggu usul yang dibawa Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi untuk dibincangkan dalam Biro Politik,” katanya selepas menyempurnakan majlis Peluncuran Program Desa Kirana@KKDW di Hotel Sunway Putra di sini, hari ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan bersama Exco Luar Bandar (MEXCLUB) Bilangan 1 Tahun 2025 di majlis yang sama.

Sebelum ini, Ketua Penerangan UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said dilaporkan berkata, semua UMNO bahagian dibenarkan mengemukakan sebarang usul termasuk isu penggantungan keahlian Hishammuddin pada mesyuarat perwakilan.

Beliau berkata, usul itu kemudiannya akan dikumpul dan dikemukakan kepada kepimpinan parti untuk diteliti.

UMNO Bahagian Sembrong sebelum ini menyatakan hasrat supaya Hishammuddin diterima semula dalam kepemimpinan parti.

Perkara itu disuarakan secara terbuka dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sembrong, sekali gus ia masuk tahun kedua UMNO Bahagian Sembrong membawa usul supaya penggantungan Hishammuddin ditarik balik serta-merta tanpa syarat.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi ketika berucap merasmikan mesyuarat itu di Sembrong, memulakan ucapan dengan mengenang peranan besar Hishammuddin yang dianggap sebagai ‘sifu’ dalam permulaan karier politiknya.

Ahmad Zahid menjelaskan, lazimnya kesemua usul yang dikemukakan kesemua 191 bahagian akan dibawa ke Jawatankuasa Usul dan membuat keputusan itu berdasarkan kepada apa yang akan dikemukakan oleh Onn Hafiz.

Beliau berkata, MKT UMNO tidak akan mengambil tindakan terhadap mana-mana individu tanpa wujud kesalahan yang jelas.

“Saya ingin ingatkan rakan-rakan wartawan, MKT UMNO tidak akan menggantung atau memecat sesiapa jika tiada kesalahan dilakukan.

“Sebagai contoh di Sabah, selepas UMNO gagal membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018, ada individu tertentu yang mempengaruhi 22 daripada 25 Ketua Bahagian UMNO supaya keluar parti, membubarkan UMNO dan meletak jawatan sebagai ketua bahagian. Tindakan itu memberi kesan besar kepada UMNO di Sabah, justeru wajar dikenakan tindakan,” katanya.

Tanpa menamakan sesiapa, Ahmad Zahid turut memberi bayangan beberapa tokoh tertentu akan dikenakan tindakan oleh MKT kerana didakwa cuba menggugat parti.

“Ada juga individu yang mengetuai 10 daripada 30 Ahli Parlimen UMNO menarik sokongan terhadap kerajaan sedia ada, walaupun mereka sudah menandatangani akuan bersumpah ( SD) menyatakan sokongan. Jelas individu ini mengingkari keputusan parti dan tindakan perlu diambil.

“Ada juga yang mahu saya digugurkan sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) sebelum kerajaan sekarang dibentuk. Adakah individu seperti ini tidak perlu dikenakan tindakan?

“Saya tidak sebut nama sesiapa secara khusus tetapi tiga kes ini sudah cukup untuk menunjukkan sebab tindakan perlu diambil. Jika ada yang bertanya ‘apa salah saya?’, maka inilah jawapannya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top