Penyanyi popular, Hazama mengakui belum bersedia untuk menganjurkan konsert solo kerana merasakan belum sampai waktunya untuk berdiri megah di pentas besar dengan sepenuhnya membawakan karya sendiri.
Hazama, 40, berkata, dia lebih selesa menunggu masa yang sesuai apabila lagu-lagunya benar-benar memberi kesan mendalam kepada peminat, selain memiliki nilai nostalgia yang kuat.
“Buat masa sekarang, saya tak terfikir langsung nak buat konsert. Saya rasa yang patut buat konsert adalah artis seperti Misha Omar, Dayang Nurfaizah, Spider dan beberapa nama besar lain yang sudah cukup matang dari segi karya dan pengalaman pentas.
“Kalau sebut Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Awie, Wings, Search, Datuk M Nasir, mereka memang berada di tahap yang lain. mereka ikon. Saya belum sampai ke tahap itu,” katanya.
Hazama berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran single terbaharunya berjudul ‘Aku Bukan Narsisis’ yang berlangsung di ibu kota, Selasa lalu.
Jelasnya lagi, biarpun sudah memiliki lebih 30 lagu, dia tidak mahu terburu-buru kerana ingin memastikan setiap karya yang dibawa mampu mencetuskan rasa dalam kalangan peminat.
“Saya nak semua lagu saya ada kenangan tersendiri untuk pendengar. Jadi bila saya nyanyi lagu itu atas pentas, mereka dapat ‘flashback’ kenangan silam. Lagu bukan sekadar hiburan, tapi juga satu perjalanan emosi.
“Saya masih perlu masa untuk pastikan semua lagu saya cukup kuat. Lagu-lagu ini perlu ‘masak’ dulu sebelum dibawa ke konsert,” katanya.
Menurut Hazama kejayaan sesebuah konsert bukan hanya terletak pada jumlah lagu atau populariti, tetapi pengalaman dan emosi yang dibawa kepada penonton.
“Kalau setakat nak dengar lagu, kita boleh buka Spotify. Tapi rasa nostalgia waktu tengok persembahan secara langsung itu yang akan buat penonton ingat sampai bila-bila.
“Mungkin dalam 10 tahun akan datang, bila saya rasa sudah benar-benar bersedia, baru saya akan fikirkan soal konsert solo,” katanya lagi.
Dalam masa sama, Hazama kini kembali dengan sisi berbeza menerusi single terbarunya ‘Aku Bukan Narsisis’ sebuah karya yang penuh luka, jujur dan menyentuh jiwa.
Lagu ciptaan komposer prolifik, Farouk Roman ini menjadi lebih peribadi apabila Hazama sendiri menulis liriknya bersama Zel Hadauan, menjadikan ia luahan hati yang dekat dengan realiti dan pengalaman sebenar lelaki yang berperang dengan emosi.
Artikel Berkaitan: Hazama Luah Jeritan Hati Lelaki Dalam ‘Aku Bukan Narsisis’