hafidzul@hmetro.com.my
Putrajaya: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menggunakan Laporan Kajian Mengenai Rasuah Di Malaysia (MaCoS) 2024 sebagai rujukan untuk merangka inisiatif dan tindakan menyeluruh dalam menangani masalah rasuah di negara ini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, kajian yang dibentangkan memberi manfaat dan pengetahuan kepada SPRM daripada segi tindakan intervensi dan merangka pelan pencegahan rasuah.
“Pelaksanaan kajian ini adalah salah satu inisiatif SPRM dalam melihat kejayaan selama 58 tahun mengangkat dan memartabatkan agenda membanteras rasuah di negara ini selain dijadikan sebagai bahan rujukan untuk semua pihak serta membantu SPRM membuat penambahbaikan pelan pencegahan rasuah.
“Justeru, SPRM akan mengkaji semula dapatan dan syor laporan kajian ini membabitkan bahagian-bahagian di SPRM membabitkan tiga strategi utama iaitu operasi, pencegahan dan pendidikan,” katanya ketika menghadiri sesi pembentangan laporan kajian MaCoS yang diadakan di Hotel Doubletree By Hilton, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Perangkawan Malaysia (DOSM), Datuk Sri Dr Mohd Uzir Mahidin; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Sri Ahmad Khusairi Yahaya dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM,Datuk Azmi Kamaruzaman;
Selain itu, Azam turut menekankan beberapa pendekatan secara berterusan perlu diambil dan dirangka untuk memastikan strategi serta usaha pencegahan rasuah dapat dilaksanakan secara berterusan misalnya kempen-kempen promosi pendidikan pencegahan rasuah yang memberikan kesan lebih baik dan berimpak tinggi kepada masyarakat.
Azam yang bersetuju dengan syor penemuan kajian berkenaan berkata, cabaran besar SPRM ialah untuk mencapai visi menjadikan negara ini bebas rasuah dan pada masa sama menggunakan pendekatan baharu seperti teknologi kecerdasan buatan (AI) dan pendigitalan.
Penemuan utama kajian ini akan dibentangkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Tatakelola (JTK) dan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN).
Kajian MaCoS ini juga mengimbangi dapatan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang berdasarkan persepsi dengan realiti sebenar keadaan rasuah dalam negara.
MaCoS dilaksanakan secara kerjasama oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Pakarunding Sdn Bhd.
© New Straits Times Press (M) Bhd