am@hmetro.com.my
Gerik: Lelaki warga emas maut manakala dua yang lain cedera apabila kereta dinaiki mereka terbabit nahas dengan lori 10 tan berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Puncak Titiwangsa, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, di sini tengah hari tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, nahas itu membabitkan kereta Proton Persona dinaiki tiga individu berkenaan dengan lori 10 tan terbabit.
Menurutnya, panggilan diterima sekitar jam 1.02 tengah hari tadi dengan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik digerakkan ke lokasi kejadian itu yang dianggarkan sejauh 70 kilometer (km) daripada balai bomba.
“Seorang warga emas berusia 70-an yang berada di tempat duduk penumpang hadapan mengalami kecederaan serius pada kaki.
“Manakala dua yang lain masing-masing membabitkan lelaki yang memandu Proton Persona itu, serta seorang wanita di tempat duduk belakang hanya mengalami cedera ringan.
“Mangsa wanita di tempat duduk belakang bagaimanapun turut mengadu sakit di bahagian dada dan dihantar ke Hospital Gerik. Rawatan awal diberikan kepada kedua-dua mangsa yang cedera,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya lagi, mangsa warga emas yang tersepit dikeluarkan oleh anggota bomba sebelum kemudiannya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
© New Straits Times Press (M) Bhd