Semangat sepanjang zaman

Semangat sepanjang zaman

Peristiwa hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah bukan sekadar satu perpindahan tempat atau langkah menyelamatkan diri daripada tekanan golongan musyrikin Quraisy, tetapi satu strategi penting dalam menyebarkan risalah Islam dan mendirikan sebuah masyarakat Islam yang berdaulat.

Hijrah adalah satu titik perubahan besar dalam sejarah umat Islam, bahkan ia dijadikan permulaan kepada takwim Islam yang kita guna pakai hingga hari ini.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah dengan harta dan diri mereka adalah lebih tinggi darjatnya di sisi Allah. Mereka itulah orang yang memperoleh kemenangan.” (Surah at-Taubah ayat 20)

Ayat ini menunjukkan betapa hijrah adalah sebahagian daripada perjuangan dan jihad dalam menegakkan agama Allah.

Sebelum hijrah, Rasulullah SAW dan sahabat menghadapi pelbagai bentuk penyeksaan dan penindasan daripada puak Quraisy. Mereka dihina, dipukul, diseksa dan dipulau hanya kerana mereka beriman kepada Allah Yang Maha Esa.

Namun, semua tekanan ini tidak melunturkan semangat Rasulullah SAW dalam menyampaikan dakwah Islam. Baginda terus berdakwah secara rahsia dan terbuka dalam kalangan keluarga terdekat sehinggalah kepada masyarakat umum.

Hijrah menjadi penyelesai apabila dakwah di Makkah tidak lagi memungkinkan untuk berkembang. Ketika Madinah membuka pintu untuk menerima Islam, perpindahan itu menjadi keutamaan.

Ketika berada di dalam Gua Thur bersama Saidina Abu Bakar RA, Rasulullah SAW menenangkan sahabatnya dengan sabdanya yang bermaksud: “Jangan bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kalimat ini bukan sekadar ungkapan penghibur, tetapi ia mengungkapkan keyakinan Rasulullah terhadap janji dan pertolongan Allah SWT dalam perjuangan baginda.

Ini membuktikan perjuangan dakwah tidak pernah terputus daripada tawakal dan pergantungan kepada Allah SWT.

Setibanya di Madinah, Rasulullah SAW tidak terus berehat. Baginda memulakan langkah menyusun struktur masyarakat Islam yang merangkumi pelbagai aspek daripada pembinaan masjid, mempersaudarakan golongan Muhajirin dan Ansar, merangka Piagam Madinah hingga membina asas politik, ekonomi dan sosial Islam yang kukuh.

Menurut al-Imam Ibn Kathir dalam al-Bidāyah wa al-Nihāyah, hijrah adalah pembukaan lembaran baharu dalam pelaksanaan syariah Islam secara menyeluruh dan mencetuskan kebangkitan ummah yang tersusun.

Rasulullah SAW membentuk masyarakat yang bukan sahaja taat kepada Allah, tetapi juga menjunjung nilai keadilan, keamanan, persaudaraan dan tanggungjawab sosial.

Ulama Islam menegaskan bahawa hijrah bukanlah peristiwa yang hanya bernilai sejarah, tetapi ia adalah simbol perjuangan sepanjang zaman. Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya Ulumiddin menekankan bahawa hijrah yang sebenar ialah berpindah daripada kejahilan kepada ilmu, daripada maksiat kepada ketaatan dan dari dunia yang memperdaya kepada akhirat yang kekal.

Maka, semangat hijrah mesti diterjemahkan dalam kehidupan umat Islam hari ini dengan memperjuangkan nilai Islam dalam segenap aspek kehidupan, bukan sekadar mengenangnya sebagai peristiwa tahunan.

Rasulullah SAW dan sahabat baginda rela meninggalkan harta benda, tanah kelahiran dan keluarga demi memastikan Islam dapat ditegakkan dalam keadaan yang bebas dan berdaulat. Inilah semangat sebenar perjuangan Islam yang wajar dicontohi oleh umat Islam hari ini.

Dalam suasana dunia moden yang penuh cabaran, umat Islam dituntut terus berusaha mempertahankan akidah, menegakkan keadilan serta menyebarkan risalah Islam dengan hikmah dan penuh kesabaran.

Perjuangan menegakkan Islam kini tidak semestinya melalui senjata atau peperangan, tetapi melalui penyebaran ilmu, media, pendidikan dan amalan kehidupan yang mencerminkan keindahan Islam. Hijrah secara simbolik adalah berpindah daripada kejahilan kepada kefahaman, daripada kelemahan kepada kekuatan, dan daripada perpecahan kepada perpaduan ummah.

Oleh itu, semangat perjuangan hijrah mesti diteruskan dalam bentuk yang sesuai dengan konteks zaman agar Islam terus subur dan berkembang dalam masyarakat.

Perjuangan hijrah Rasulullah SAW bukan sahaja memberi inspirasi dalam konteks sejarah, tetapi turut menjadi pedoman bagi umat Islam sepanjang zaman dalam mempertahankan agama, tanah air dan maruah umat. Semangat ini sangat jelas kelihatan pada perjuangan rakyat Palestin yang saban hari mempertahankan bumi suci mereka daripada penjajahan dan penindasan yang berterusan.

Ulama kontemporari seperti Dr Yusuf al-Qaradawi pernah menegaskan bahawa perjuangan rakyat Palestin adalah sebahagian daripada jihad fi sabilillah kerana ia adalah usaha mempertahankan Tanah Suci dan memelihara identiti Islam daripada dirampas oleh musuh agama.

Dalam konteks ini, hijrah bukan sekadar fizikal, tetapi turut mencakupi makna spiritual iaitu meninggalkan ketakutan, kelemahan dan kehinaan untuk menuju kepada kekuatan, keberanian dan kemuliaan yang dibina atas dasar iman serta tawakal kepada Allah.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, jika kamu menolong agama Allah, nescaya Allah akan menolong kamu dan meneguhkan kedudukan kamu.” (Surah Muhammad ayat 7)

Oleh itu, marilah kita mencontohi semangat dan perjuangan Rasulullah SAW dalam menyebarkan Islam dan menjadikan hijrah sebagai inspirasi dalam membentuk peribadi Muslim yang cemerlang serta masyarakat berakhlak mulia.

Penulis Penyelaras Program Khas Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Pusat Pendidikan Universiti Malaya, Bachok, Kelantan

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top