Hevel, Irazabal tambah kualiti Liga-M

Hevel, Irazabal tambah kualiti Liga-M

KEHADIRAN dua pemain warisan Harimau Malaya, Hector Hevel dan Jon Irazabal, bukan sahaja menambahkan kekuatan Johor Darul Ta’zim (JDT) malah turut diyakini mampu memberikan impak positif kepada kualiti Liga Malaysia (Liga-M).

Pemerhati bola sepak tempatan, Fauzi Pilus, berkata kehadiran pemain berkualiti tinggi dalam Liga-M akan memberi kesan baik kepada keseluruhan ekosistem bola sepak negara.

Menurutnya, ia juga membuka ruang kepada kelab lain untuk turut mendapatkan lebih ramai pemain import berkualiti tinggi yang kini semakin berminat untuk beraksi dalam saingan liga tempatan.

“Pasukan lain juga akan mendapat manfaat apabila lebih ramai pemain bertaraf antarabangsa beraksi di sini.

“Kalau kita berjaya menarik pemain dari liga luar yang bagus, dan kita mampu mengurus gaji serta kebajikan mereka dengan baik, saya percaya liga kita akan berkembang ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Irazabal, pemain pertahanan kacukan Sepanyol-Malaysia, diumumkan secara rasmi menyertai JDT pada Isnin lalu, menyusul selepas Hevel yang terlebih dahulu diperkenalkan sebagai jeneral baharu di posisi tengah.

Bagaimanapun, penyertaan kedua-dua pemain tersebut ke Liga-M menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan peminat di media sosial — ada yang mengalu-alukan kepulangan mereka, tidak kurang juga yang berpendapat bekas pemain Sabah FC dan Portimonense SC itu seharusnya terus mencabar diri di Eropah demi perkembangan karier jangka panjang.

Namun begitu, sebahagian penyokong melihat pemilihan mereka untuk kembali ke tanah air dan menyarung jersi JDT sebagai langkah bijak, mengambil kira reputasi kelab tersebut yang memiliki fasiliti bertaraf antarabangsa serta struktur pengurusan profesional.

Dalam pada itu, Fauzi yang juga jurulatih berpengalaman yakin bahawa dari sudut kepentingan skuad kebangsaan Harimau Malaya, kehadiran Irazabal di JDT membuka ruang integrasi yang lebih baik bersama pemain tempatan.

“Kalau dilihat dari segi Harimau Malaya, JDT sememangnya sudah mempunyai ramai pemain kebangsaan. Jadi secara tidak langsung, Irazabal boleh cepat serasi dengan pemain-pemain Malaysia melalui sesi latihan dan perlawanan kelab.

“Dan apabila beliau bermain bersama JDT, ini juga bermakna beliau berpeluang beraksi di pentas ACL Elite (ACLE). Kita tahu tahap persaingan sangat tinggi dengan kelab-kelab dari Jepun, Korea, Thailand, dan jika mara lebih jauh, akan bertemu kelab dari Asia Tengah seperti Uzbekistan serta pasukan kuat dari Iran,” ujarnya.

 

 

Scroll to Top