Perak sanjung jasa ibu Fadhlina, Sharifah Khasif

Perak sanjung jasa ibu Fadhlina, Sharifah Khasif

am@hmetro.com.my

Ipoh: Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menyifatkan Anugerah Saidina Abu Bakar As-Siddiq yang diterima ibunya, Allahyarhamah Datin Dr Siti Zalikhah Md Nor sempena Sambutan Maal Hijrah peringkat Perak 1447H /2025M adalah pengiktirafan terhadap perjuangan wanita itu termasuk sebagai segmen pembela undang-undang syariah.

Pengiktirafan yang membawa gelaran Tokoh Ar-Ridzuan terhadap Allahyarhamah Siti Zalikhah itu, juga disifatkan oleh Fadhilina sebagai mewakili segmen perjuangan ibunya sebagai warga pendidik iaitu pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), serta terhadap segmen pemberdayaan wanita.

“Bagi pihak keluarga (kami) menerima anugerah ini dengan penuh rasa rendah diri kerana jasa ibu kami ini sebenarnya mewakili beberapa segmen penting dalam perjuangan beliau iaitu pendidik, pejuang serta pembela undang-undang Islam serta syariah, dan pemberdayaan wanita.

“Segmen pendidik kerana beliau adalah seorang pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia. Segmen pejuang dan pembela undang-undang Islam serta syariah di Malaysia kerana itu adalah kepakaran beliau.

“Segmen pemberdayaan wanita kerana beliau sentiasa mengangkat tema pemberdayaan wanita dalam semua aspek khususnya dalam pendidikan, perjuangan hak-hak wanita Islam dan juga berkaitan kekeluargaan.

“Jadi kami di pihak keluarga sangat menjunjung kasih kepada Sultan Nazrin di atas anugerah ini selain terima kasih kepada kerajaan negeri Perak kerana mengiktiraf seorang anak jati Perak dari Pengkalan Hulu yang perjuangannya masih diteruskan oleh anak-anak muridnya,” katanya ketika ditemui pemberita malam tadi.

Dalam majlis sambutan itu, Fadhlina menaiki pentas mewakili ibunya yang meninggal dunia pada pada 16 Jun 2024 bagi menerima Anugerah Saidina Abu Bakar As-Siddiq yang disampaikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Penganugerahan itu membolehkan Allahyarhamah Siti Zalikhah yang juga isteri kepada kepada Bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Prof Datuk Dr Siddiq Fadzil menerima wang tunai RM15,000, pakej menunaikan umrah bernilai RM9,000 sumbangan kerajaan negeri, plak serta sijil.

Ketika hayatnya, Siti Zalikhah yang juga anak kelahiran Pengkalan Hulu serta ibu kepada tujuh anak pernah berkhidmat sebagai peguam syarie antara tahun 1997 hingga 2010 selain sebagai pensyarah Fakulti Pengajian Islam UKM.

Allahyarham juga pernah menganggotai ABIM sebagai Ketua Hal Ehwal Wanita (HELWA) dari tahun 1977 hingga 1985 selain pengasas dan penyelaras Diploma Kehakiman Islam UKM.

Sementara itu, bagi penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah negeri Perak 1447H / 2025M iaitu personaliti agama, Sharifah Khasif Fadzillah Syed Badiuzzaman, 43, atau lebih dikenali sebagai Ustazah Sharifah Khasif, pengiktirafan itu dianggap sesuatu di luar jangkaannya.

Bagaimanapun, semuanya dianggap sebagai kurniaan Allah hasil daripada penghayatan serta kecintaan dirinya terhadap al-Quran.

“Kalau ikutkan banyak lagi yang lebih berkelayakan daripada ustazah (saya) kerana selalunya yang mendapat gelaran Tokoh Maal Hijrah ini terdiri daripada golongan seperti mufti-mufti, orang-orang (kakitangan) kerajaan yang ada pangkat ataupun tokoh agama yang lebih terkemuka.

“Ustazah pernah dapat macam-macam anugerah sebelum ini termasuk sebagai johan qariah peringkat antarabangsa namun tidak pernah semua itu memberi sentuhan seperti anugerah ini. Inilah dikatakan kalau kita angkat keagungan Al-Quran seikhlas hati, maka Allah yang angkat martabat seseorang,” katanya.

Bekas juara Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa 2009 dan juga Qariah Terbaik Keseluruhan itu menerima wang tunai RM15,000, pakej menunaikan umrah bernilai RM9,000 sumbangan kerajaan negeri Perak, plak, serta sijil.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top