IBADAH haji bukanlah pengakhiran Rukun Islam semata-mata, bahkan ia menjadi titik permulaan bagi penghijrahan rohani seorang Muslim.
Bagi mereka yang terpilih menjadi tetamu ALLAH di Tanah Suci, perjalanan haji sering kali menjadi titik tolak kepada perubahan jiwa dan kehidupan yang lebih baik.
Pensyarah di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Najaa’ Mokhtar menjelaskan, niat untuk menunaikan haji sahaja sudah cukup untuk mencetuskan proses perubahan diri.

DR AHMAD NAJAA’
“Keinsafan itu bukan bermula di Arafah, bahkan sejak kita mula berniat dan menyimpan wang untuk tujuan itu lagi,” katanya kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.
Menurutnya, cabaran fizikal dan emosi sepanjang ibadah haji turut membentuk proses pembaikan diri secara mendalam.
“Dari cuaca panas Arafah hingga keadaan sesak di Mina, setiap saat memberi ruang untuk muhasabah dan refleksi diri.
“Haji bukan sekadar pergerakan fizikal antara Makkah, Arafah dan Mina. Ia adalah perjalanan menuju akhirat. Di Arafah misalnya, seseorang akan merasai suasana seperti padang Mahsyar. Kita duduk sesak, berdoa dan berzikir dalam cuaca panas tanpa banyak kelengkapan,” ungkapnya.
Elak berburuk sangka dengan ALLAH
Mengulas berkenaan ujian besar yang menimpa jemaah haji seperti tragedi rempuhan dan kren tumbang, Dr Ahmad Najaa’ menegaskan, ujian di Tanah Suci bukanlah semata-mata balasan terhadap dosa.
Sebaliknya, beliau menjelaskan, ia adalah ketetapan ALLAH SWT yang datang mengikut kemampuan hamba-NYA.

BERHIJRAH selepas haji adalah bukti sejauh mana seseorang itu benar-benar memahami dan menghayati ibadah tersebut. -Foto: 123RF
“Usah berburuk sangka dengan Tuhan, sedangkan kita lakukan perkara yang disuruh (menunaikan ibadah haji).
“Bukan semua ujian itu balasan. Ada orang baik pun diuji, orang jahat pula tidak. Apa saja, kita terima saja (dengan berlapang dada), tetapi jangan pula terlalu pasrah awal-awal seolah-olah menjangka sesuatu yang buruk akan berlaku,” terangnya panjang lebar.
Dalam pada itu, beliau turut menegur salah faham sesetengah individu yang takut untuk menunaikan haji kerana bimbang ‘dibalas’ atas dosa lalu.
Jelas beliau, perasaan itu hanyalah bisikan iblis yang cuba menakut-nakutkan manusia daripada melaksanakan perintah ALLAH.
“Kalau kita takut pergi haji sebab bimbang dibalas, itu datangnya daripada iblis.
“Sedangkan, haji ialah ibadah yang diperintahkan ALLAH, bukan perbuatan maksiat,” tuturnya.
Dalam konteks kematian jemaah haji, ahli akademik itu menjelaskan, ia bukan tragedi semata-mata, tetapi merupakan kemuliaan bagi mereka yang dikebumikan di Tanah Suci sepertimana disebut dalam hadis Nabi Muhammad SAW.

IBADAH haji bukan sekadar pergerakan fizikal antara Makkah, Arafah dan Mina, tetapi ia adalah perjalanan menuju akhirat. -Foto: 123RF
Ibnu ‘Umar meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: “Siapa yang berkemampuan untuk meninggal dunia di Madinah, maka meninggallah di sana kerana aku akan memberi syafaat kepada mereka yang mati di sana.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi)
Sempena Maal Hijrah, pensyarah itu menyeru umat Islam supaya menjadikan pengalaman haji sebagai pelonjak kepada perubahan hidup yang lebih baik selepas pulang ke tanah air.
Jelas beliau, hijrah selepas haji adalah bukti sejauh mana seseorang itu benar-benar memahami dan menghayati ibadah tersebut.
“Selepas menyempurnakan haji, seseorang tidak sepatutnya kembali seperti biasa kerana haji adalah lambang penyerahan sepenuhnya kepada ALLAH iaitu bermulanya langkah ke akhirat kerana telah menyempurnakan kesemua Rukun Islam,” ujarnya.

JADIKAN pengalaman haji sebagai pelonjak kepada perubahan hidup yang lebih baik selepas pulang ke tanah air.
Sebelum menutup bicaranya, Dr Ahmad Najaa’ mengingatkan umat Islam agar mendahulukan kefarduan haji berbanding trend mengerjakan umrah berkali-kali, lebih-lebih lagi jika ia menjejaskan tanggungjawab terhadap keluarga atau mengganggu kewangan seseorang.
“Umrah (berkali-kali) itu sunat, haji yang wajib. Jangan sampai kita menekan orang lain atau berhutang semata-mata untuk perkara yang bukan keutamaan.
“Ingatlah, haji bukan penamat ibadah, tetapi menjadi ‘gerbang’ kepada hijrah yang tulus dan berterusan menuju akhirat,” titipnya.
ANEKDOT
Sisi lain tentang haji dan umrah
1. Niat haji bermula tanpa disedari
Ramai tidak sedar bahawa niat untuk pergi haji sudah menjadi permulaan kepada hijrah rohani walaupun belum bersedia atau sekadar ‘ikut-ikut’ kawan.
2. Cabaran haji tidak mengira status
Baik pelajar biasa, pegawai tinggi mahupun usahawan berjaya, semuanya tetap diuji dalam bentuk berbeza. Ia sekali gus membuktikan bahawa status duniawi tidak terpakai di hadapan ALLAH SWT.

BAGI mereka yang terpilih menjadi tetamu ALLAH di Tanah Suci, perjalanan haji sering kali menjadi titik tolak kepada perubahan jiwa dan kehidupan yang lebih baik. -Foto: CANVA
3. Kurang persediaan tetapi tetap berubah
Benar, bukan semua orang ke Tanah Suci dengan ilmu dan kekuatan spiritual penuh, namun pengalaman di sana tetap membibitkan kesedaran dan taubat mendalam.
4. Trend umrah kerana terpaksa
Terdapat segelintir orang menunaikan umrah kerana terpaksa, hanya untuk ikut pasangan atau keluarga, bukannya kerana keikhlasan diri, lalu timbul konflik sepanjang beribadah.
5. Utamakan umrah sunat berbanding haji
Dalam kalangan masyarakat, kefahaman tentang keutamaan antara ibadah wajib dan sunat masih lagi lemah apabila ramai sanggup mendahulukan yang sunat kerana ingin ‘tular’ di media sosial dan sebagainya.
*Sumber: Pensyarah di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Najaa’ Mokhtar