Hong Kong: Semua hospital bertaraf tertiari di China diwajibkan menyediakan perkhidmatan epidural ketika bersalin selewat-lewatnya hujung tahun ini, dalam usaha mewujudkan persekitaran kelahiran yang lebih mesra wanita.
Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China (NHC) dalam kenyataannya baru-baru ini memaklumkan, hospital tertiari yang mempunyai lebih 500 katil perlu menyediakan perkhidmatan bius epidural menjelang akhir 2025, manakala hospital sekunder dengan lebih 100 katil pula mesti melaksanakannya sebelum 2027.
Langkah itu diambil ketika pihak berkuasa bergelut untuk meningkatkan kadar kelahiran di negara ekonomi kedua terbesar dunia itu, selepas populasi China terus menyusut untuk tahun ketiga berturut-turut pada 2024, dan dijangka merosot lebih parah pada masa akan datang.
Ketika ini, hanya sekitar 30 peratus wanita hamil di China menggunakan epidural semasa bersalin, berbanding lebih 70 peratus di negara maju, menurut laporan China Daily.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan penggunaan epidural kepada ibu hamil yang sihat dan mahu mendapatkan kelegaan daripada kesakitan semasa bersalin.
Di Perancis, kira-kira 82 peratus wanita memilih untuk menggunakan epidural, manakala di Amerika Syarikat dan Kanada, lebih 67 peratus ibu bersalin menggunakannya.
NHC dalam kenyataan itu berkata, pelaksanaan meluas epidural akan “meningkatkan tahap keselesaan dan keselamatan perkhidmatan kesihatan” serta “menambah baik kesejahteraan rakyat dan mewujudkan persekitaran kelahiran yang lebih mesra”.
Difahamkan, semakin banyak wilayah di China kini turut mula memasukkan kos epidural bersalin ke dalam skim insurans perubatan negeri bagi menggalakkan lebih ramai wanita melahirkan anak.
Sebelum ini, kos penjagaan anak yang tinggi, ketidaktentuan pekerjaan dan kelembapan ekonomi menjadi antara punca utama golongan muda di China enggan berkahwin dan berkeluarga.
Sebagai tambahan, pihak berkuasa kesihatan di wilayah Sichuan pada Jun lalu turut mencadangkan cuti perkahwinan dilanjutkan sehingga 25 hari dan cuti bersalin ditambah kepada 150 hari, sebagai sebahagian usaha mewujudkan ‘masyarakat mesra kesuburan’.
© New Straits Times Press (M) Bhd