Ceburi bidang perniagaan, Muaz Zabir buat persediaan awal

Ceburi bidang perniagaan, Muaz Zabir buat persediaan awal

KUALA LUMPUR: “Tidak dinafikan sebagai seorang penggiat seni, kerjaya lakonan ini ada naik turunnya. Perniagaan ini adalah langkah persediaan awal untuk masa akan datang.”

Demikian kata pelakon, Muaz Zabir, 28, selepas memaklumkan dirinya sudah mula menceburi bidang perniagaan secara kecil-kecilan.

Menurut Muaz, perniagaan yang dijalankan itu juga sekadar untuk meraih pendapatan sampingan meskipun dirinya masih rancak menerima tawaran lakonan.

“Saya berasa bersyukur kerana masih menerima tawaran lakonan. Tetapi saya tidak tahu perancangan Allah mengenai kerjaya saya di masa hadapan.

“Dengan perniagaan ini, saya boleh mendapat pendapatan sampingan. Sekarang pun ramai sahaja artis yang sudah mula berniaga.

“Seperti Aeril Zafrel dan Shaheizy Sam, mereka masih berlakon walaupun sibuk berniaga. Jika suatu hari nanti saya terlibat dalam kemalangan dan perkara itu menjejaskan karier saya, perniagaan inilah yang akan membantu saya,” jelasnya.

Muaz berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sesi Meet & Greet pelakon drama bersiri terbitan Viu, Mitos Cinta Akira, baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai perniagaannya, Muaz memberitahu dia kini menjual manisan di sebuah gerai kecil dan berancang untuk membuka kedai gunting rambut pada tahun depan.

“Buat masa sekarang ini, perniagaan saya kecil sahaja. Saya menjual pastri croissant, pencuci mulut seperti strawberi coklat.

“Insya-Allah, saya rancang mahu buka perniagaan yang lebih besar seperti kedai gunting rambut pada tahun depan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Muaz kini muncul menerusi drama bersiri Mitos Cinta Akira yang turut dibintangi pelakon baharu seperti Arabella Ellen, Areef Amran dan Haneesya Hanee.

Drama bersiri terbitan Viu itu sudah mula ditayangkan di platform penstriman tersebut pada 25 Jun lalu. -UTUSAN

Scroll to Top