am@hmetro.com.my
Batu Pahat: Dua lelaki masing-masing memiliki 29 dan 30 rekod jenayah dicekup kurang 24 jam selepas disyaki memecah masuk rumah melarikan barangan berharga, Ahad lalu.
Kedua-dua suspek berusia 36 dan 50 tahun yang juga penganggur ditahan pada jam 5 petang, susulan laporan polis dibuat mangsa, lelaki berusia 56 tahun pada hari kejadian.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, berkata pada hari kejadian mangsa menyedari rumahnya di Taman Soga Sutera, di sini, dimasuki pencuri jam 6 pagi.
Beliau berkata, bertindak atas maklumat dan risikan dijalankan, polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat menahan suspek di Peserai, di sini manakala seorang lagi di Bandar Hilir, Melaka.
“Polis turut menemui semula barangan berharga serta sebuah kereta milik mangsa. Selain itu, polis merampas pakaian digunakan ketika melakukan jenayah terbabit.
“Pada masa sama, polis juga merampas heroin seberat 27.28 gram (g) dan syabu (4.26 g) bernilai lebih RM1,000. Ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif syabu,” katanya dalam kenyataan.
Katanya lagi, hasil semakan polis mendapati, suspek berusia 36 tahun memiliki 30 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah manakala seorang lagi, 29 rekod.
Shahrulanuar berkata, kedua-dua suspek direman sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 dan 379A Kanun Keseksaan.
“Polis turut menyiasat kes ini mengikut Seksyen 39B, Seksyen 12 (2) dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd