Yana Samsudin dirawat di pusat perubatan kerana dehidrasi

Yana Samsudin dirawat di pusat perubatan kerana dehidrasi

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon, Yana Samsudin, 40, terpaksa dirawat di sebuah pusat perubatan swasta di sini kerana mengalami dehidrasi sejak dua hari lalu.

Menurut suaminya yang juga pelakon Fadzil Zahari, pada mulanya, Yana mengadu demam panas dan sakit-sakit sendi serta badan sebelum dimasukkan ke wad.

“Hasil pemeriksaan, doktor beritahu Yana mengalami dehidrasi dan perlu dimasukkan ke wad.

“Yana sudah dirawat selama dua hari di wad tetapi dia beritahu masih berasa letih lagi hari ini dan tidak boleh cakap banyak,” katanya kepada Harian Metro.

Tambah Fadzil, dia juga mohon semua peminat untuk mendoakan kesihatan isteri dan anak dalam kandungannya yang kini berusia lebih lima bulan.

“Pada mulanya, anak ketiga kami demam tetapi sehari selepas tu sudah baik dan Yana juga yang menjaganya di rumah.

“Selepas itu, Yana pula dapat demam dan sakit-sakit badan serta sendi selain terbaring di katil hingga terpaksa dimasukkan ke pusat perubatan swasta.

“Justeru, saya juga mohon pada semua untuk doakan Yana dan bayi dalam kandungannya yang juga anak keempat kami juga sihat,” katanya.

Terdahulu, Fadzil memuat naik perkongsian di laman Instagram miliknya meminta pengikutnya untuk mendoakan kesihatan Yana yang dimasukkan ke wad sejak dua hari lalu.

Yana dan Fadzil mendirikan rumah tangga pada 13 Februari 2015. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aisy Mateen, 9, Aura Aisy Sofea, 5, dan Aisy Hakeem yang kini berusia setahun.

Β© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top