“Nak jadi guru tapi tak mampu..”-Fadhlina bantu pelajar ada masalah kewangan ke IPG

“Nak jadi guru tapi tak mampu..”-Fadhlina bantu pelajar ada masalah kewangan ke IPG

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menghulurkan bantuan segera kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Muhamad Syahmi Azril Saidi Jamal, yang menghadapi kekangan kewangan untuk melanjutkan pengajian di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tuanku Bainun.

Menterinya, Fadhlina Sidek memaklumkan bahawa pasukannya telah berhubung dengan keluarga pelajar tersebut bagi memastikan urusan pendaftarannya berjalan lancar.

“Alhamdulillah, pasukan saya sedang berhubung dengan keluarga untuk menguruskan anakanda ini meneruskan pengajiannya ke IPG.
“Anggap sahaja selesai dan mari kita sama-sama mendoakan kejayaan anak ini dalam pengajiannya kelak. Inilah semangat hijrah yang kita mahukan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Artikel lain: “Kami tak pernah cakap..”- Fadhlina nafi A- tidak cemerlang, tiada pekeliling KPM nyatakan

Fadhlina bantu pelajar ada masalah kewangan ke IPG

Terdahulu, Kosmo! melaporkan keluhan pelajar itu yang menyatakan keluarganya tidak mampu menyediakan wang untuk yuran pengajian meskipun telah menerima surat tawaran ke IPG.

Bapanya, Saidi Jamal Abu Said, 43, hanya bekerja sebagai penoreh getah dan menanggung dua lagi anak yang masih bersekolah.

Ibunya, Nor Azlinda Ahmad, 38, pula tidak bekerja dan sedang berjuang melawan kanser payudara tahap empat yang memerlukan rawatan serta perhatian rapi.

Muhamad Syahmi Azril memperoleh keputusan 5A dalam SPM dan bercita-cita menjadi pendidik, namun kesulitan kewangan hampir menghalang impian tersebut.

Bagi mereka yang ingin menyalurkan bantuan, sumbangan boleh dibuat ke akaun Bank Simpanan Nasional atas nama Muhamad Syahmi Azril: 0299541100934925, atau hubungi beliau di 013-8293035.

Sumber: FB Fadhlina Sidek

Scroll to Top