Piala Negara-Negara CAFA: Tindakan MFL untuk kebaikan Harimau Malaya

Piala Negara-Negara CAFA: Tindakan MFL untuk kebaikan Harimau Malaya
Malaysia akan menyertai Piala Negara-Negara CAFA di Uzbekistan pada Ogos ini. Foto Malaysia NT

Malaysia akan menyertai Piala Negara-Negara CAFA di Uzbekistan pada Ogos ini. Foto Malaysia NT

TINDAKAN Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang bersedia melakukan pelarasan jadual saingan Liga Super bagi memberi ruang kepada skuad Harimau Malaya beraksi dalam Piala Negara-Negara Persatuan Bolasepak Asia Tengah (CAFA) 2025 seharusnya disambut baik dan tidak dijadikan polemik.

Penganalisis sukan tanah air, Datuk Dr Pekan Ramli menegaskan bahawa langkah tersebut perlu dilihat secara lebih realistik dalam usaha meningkatkan tahap pencapaian skuad kebangsaan di pentas antarabangsa.

“Ini bukan sekadar perlawanan biasa. CAFA merupakan kejohanan kompetitif yang melibatkan pasukan-pasukan hebat di Asia Tengah. Ia memberi peluang kepada pasukan kita untuk menguji kemampuan menentang pasukan yang jauh lebih tinggi rankingnya.

“Sudah tentu peluang seperti ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya, malah ia juga hanya boleh direalisasikan jika kita dapat menurunkan kesemua pemain terbaik. Maka, langkah oleh MFL amat bertepatan,” katanya kepada Sukan Sinar.

Menurut beliau, penyertaan dalam kejohanan seperti CAFA akan menyumbang kepada pembangunan jangka panjang skuad Harimau Malaya yang kini sedang melalui fasa revolusi.

“Apa pun yang kita lakukan dalam liga, sama ada perluaskan kuota import atau naik taraf kualiti penganjuran, matlamat utamanya tetap sama iaitu untuk meningkatkan tahap pasukan bola sepak negara,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan MFL akan menyesuaikan perjalanan Liga Super, termasuk kemungkinan menghentikan sementara saingan liga yangakan bermula pada 8 Ogos bagi memberi laluan kepada CAFA yang dijadual berlangsung awal September.

Pekan menegaskan bahawa CAFA edisi kali ini adalah peluang keemasan buat Harimau Malaya memandangkan penyertaan pasukan elit seperti Iran, yang kini berada di ranking ke-18 dunia dan telah melayakkan diri ke Piala Dunia 2026.

Selain Iran, kejohanan itu turut dijangka membariskan pasukan-pasukan kompetitif seperti Uzbekistan, Oman, Tajikistan, Turkmenistan, Kyrgyzstan dan Afghanistan sekali gus menjadikan CAFA medan terbaik untuk menguji kekuatan skuad negara.

“Kita selalu merungut sukar dapat lawan yang kuat. Bila ada kejohanan seperti ini yang mengumpulkan pasukan elit rantau tersebut, kita patut rebut peluang,” katanya.

 

 

Scroll to Top