am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Sekumpulan penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terbabit kemalangan bas dinaiki mereka di Jalan Jeli-Gerik, Perak pada 9 Jun lalu akan mengambil tindakan mahkamah terhadap pemandu serta syarikat bas berkenaan.
Salah seorang mangsa kemalangan terbabit, Abdul Wafiy Kamarudin, 23, berkata, tindakan itu dibuat supaya mereka mendapat pampasan dan keadilan sewajarnya.
Katanya, tindakan itu juga adalah sebagai pengajaran kepada semua pemandu kenderaan supaya berhemah semasa memandu di jalan raya.
“Tuntutan yang dibuat membabitkan ganti rugi kecederaan dan kehilangan barangan peribadi semasa kemalangan berkenaan.
“Ia (tuntutan) akan dikemukakan selepas selesai urusan dokumentasi bersama agensi yang terbabit,” katanya kepada Harian Metro.
Menurutnya, mereka masih mengumpul mangsa yang berminat untuk bersama-sama dalam tuntutan itu.
“Setakat ini, majoriti sahabat-sahabat saya sudah bersedia untuk tindakan guaman bersama peguam.
“Barisan peguam yang berwibawa bersedia untuk melawan kes ini di mahkamah nanti,” katanya yang mengadakan perbincangan bersama peguam Dr Mahmud Jumaat.
Sementara itu, Mahmud berkata, beliau bersama pasukannya akan membantu keluarga mangsa yang terbabit berlandaskan undang-undang bagi membolehkan mereka mendapat keadilan yang sewajarnya.
Katanya, pihaknya diberi amanah oleh sebahagian besar keluarga mangsa yang mengalami kecederaan parah termasuk Nor Erika Elysha Mohd Zaidi, 21, untuk meneruskan tindakan guaman bagi menuntut ganti rugi.
“Paling sedih, saya dimaklumkan mengenai kewujudan pihak ketiga iaitu broker yang menyamar serta mengaku sebagai peguam menjanjikan bulan dan bintang kepada mangsa.
“Malah, sebagai timbal balas mereka bakal memperoleh komisyen daripada firma guaman yang diperkenalkan oleh broker terbabit.
“Apa yang mustahak, keluarga ini mendapat pembelaan dan mereka berhak untuk menuntut keadilan daripada tragedi yang memilukan ini, “katanya.
Sebelum ini, Harian Metro melaporkan 15 individu termasuk 14 penuntut UPSI maut dalam kemalangan di Jalan Jeli-Gerik pada 9 Jun lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd