Atlanta: Paris Saint-Germain (PSG) hadir ke Piala Dunia Kelab sebagai juara Eropah buat kali pertama, namun pertembungan menentang Inter Miami yang diketuai Lionel Messi pada pusingan 16 terakhir, Isnin ini di Atlanta, membuka semula luka lama yang masih belum sembuh sepenuhnya.
Kemenangan bergaya 5-0 ke atas Inter Milan dalam final Liga Juara-Juara (UCL) di Munich hujung Mei lalu mengesahkan status baharu PSG sebagai kuasa bola sepak benua, hasil pendekatan baharu di bawah Luis Enrique, berteraskan pasukan muda, dahaga kejayaan dan bukan lagi dibina di atas nama-nama besar.
Kejayaan ini hadir hanya setahun selepas era ‘galacticos’ tamat.
Kylian Mbappe berhijrah ke Real Madrid, sementara Neymar dan Messi meninggalkan PSG pada musim panas 2023, ketika Enrique baru dilantik.
Messi menyertai PSG pada Ogos 2021 dari Barcelona dengan harapan besar, baik daripada kelab mahupun dirinya sendiri, bahawa dia akan menjadi pelengkap kepada impian UCL yang lama diburu.
“Saya impikan satu lagi kejuaraan UCL dan saya rasa saya berada di tempat yang sesuai untuk mencapainya,” ujar Messi sewaktu diperkenalkan.
Namun, realitinya jauh berbeza.
Dua musim bersama PSG menyaksikan Messi gagal membantu kelab mara lebih jauh daripada pusingan 16 terakhir, malah prestasi pasukan menurun berbanding sebelum ketibaannya.
Kehadiran Messi, Neymar dan Mbappe serentak dikatakan menjadikan PSG lebih glamor, tetapi kurang berfungsi sebagai satu pasukan.
Malah, Messi yang menerima gaji sekitar €30 juta (RM150 juta) setahun selepas cukai, mula diejek oleh sebahagian penyokong yang meragui komitmennya.
Walaupun membantu Argentina menjulang Piala Dunia 2022 di Qatar, sumbangan Messi bersama PSG dilihat tidak sepadu di peringkat kelab dan secara statistik dia menjaringkan 32 gol, mencipta 35 bantuan jaringan dalam 75 penampilan, serta membantu kelab merangkul dua kejuaraan Ligue 1.
Kolumnis L’Equipe, Vincent Duluc pernah menulis: “PSG tidak lebih baik kerana dia… dan dia kelihatan seperti lebih rela berjumpa doktor gigi daripada bermain di Ligue 1.”
Kini, dua tahun kemudian, Messi yang baru menyambut ulang tahun ke-38, sedang menikmati fasa akhir karier di Inter Miami dan membantu kelab itu mara ke pusingan kalah mati Piala Dunia Kelab, termasuk menjaringkan sepakan percuma cantik menewaskan Porto minggu lalu di Atlanta, tempat sama perlawanan menentang PSG akan berlangsung.
“Tidak semua dimaafkan,” lapor muka depan L’Equipe, merujuk kepada sisa rasa kecewa dan kegagalan yang masih menghantui PSG terhadap era Messi.
Jurulatih Inter Miami, Javier Mascherano pula percaya Messi akan menjadikan perlawanan ini sebagai motivasi peribadi.
“Bila Messi marah, itu lebih baik untuk kami. Dia jenis pemain yang akan beri lebih bila ada sesuatu dalam hatinya,” katanya kepada ESPN.
Dengan PSG kini berazam menambah kejuaraan dunia selepas mahkota Eropah, pastinya perit jika Messi yang pernah dianggap penyelamat mereka muncul sebagai pemusnah impian mereka, Isnin ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd