Empat panda gergasi di Jepun pulang ke China

Empat panda gergasi di Jepun pulang ke China

Tokyo: Empat ekor panda gergasi yang dipinjamkan ke sebuah zoo di barat Jepun berlepas pulang ke China, menjelang tamat tempoh perjanjian pajakan antara kedua-dua negara.

Panda berusia 24 tahun, Rauhin, bersama tiga anaknya iaitu Yuihin, 8, Saihin, 6, dan Fuhin, 4, meninggalkan taman tema Adventure World di Shirahama, Wilayah Wakayama, untuk menuju ke Pusat Pembiakan Panda Gergasi di Chengdu, Wilayah Sichuan, China, menurut pihak pengendali zoo.

Kyodo News melaporkan, dengan kepulangan itu, kini hanya dua ekor panda gergasi tinggal di Jepun, iaitu di Zoo Ueno, Tokyo, yang juga dijadualkan kembali ke China pada Februari tahun depan.

Kira-kira 1,400 pengunjung sanggup beratur seawal pagi lagi di Adventure World di Shirahama sebelum taman tema itu dibuka pada Jumaat untuk melihat panda buat kali terakhir, manakala sekitar 3,000 orang hadir hari ini pada majlis perpisahan yang penuh emosi.

“Sedih sebab mereka pulang serentak. Saya harap mereka sihat selalu di China,” kata Chisato Noda dari Nagoya.

“Saya teringin nak ke China untuk tengok mereka. Mungkin saya akan rancang percutian ke sana,” kata Yumi Yokoyama dari Ageo, Wilayah Saitama, berhampiran Tokyo.

Semua panda berkenaan kali terakhir dipersembahkan di kawasan luar pada Mei lalu.

Sepanjang sebulan kebelakangan ini, orang ramai hanya dapat melihat mereka di bilik khas yang dijadikan tempat kuarantin sebelum perjalanan pulang.

Jurucakap kerajaan China, Guo Jiakun, pada Jumaat berkata China dan Jepun mempunyai kerjasama kukuh dalam usaha pemuliharaan serta penyelidikan panda.

“Kami sedia untuk terus mengukuhkan pertukaran dan kerjasama dengan Jepun serta rakan lain di seluruh dunia demi melindungi spesies terancam ini,” katanya pada sidang media di Beijing.

Zoo di Wilayah Wakayama memulakan program pembiakan bersama pusat panda China sejak 1994, dan berjaya membiakkan 17 anak panda, ia jumlah tertinggi di luar China.

“Projek pembiakan ini selesai buat masa ini, tetapi kami bersedia menerima panda baharu pada masa depan,” kata Pengarah Zoo dan taman tema Adventure World di Shirahama, Koji Imazu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top