Safawi, Syamer perkasa KL City

Safawi, Syamer perkasa KL City

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Masa depan trio bintang Liga Malaysia (Liga M) membabitkan Safawi Rasid, Syamer Kutty Abba dan Manuel Hidalgo ternoktah apabila sah memperkuatkan pasukan Kuala Lumpur City FC (KL City) dalam saingan Liga Super 2025/2026.

Perkara itu disahkan sendiri Pengerusi KL City, Syed Yazid Syed Omar yang mengakui trio berkenaan akan menyertai skuad The City Boys.

Katanya, beliau berterima kasih kepada pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang meminjamkan tiga pemain berkenaan kepada KL City.

“Sah tiga pemain Safawi, Syamer dan Hidalgo sertai KL City untuk musim baharu ini.

“Pengalaman dan aura dimiliki ketiga-tiga pemain ini dapat memberi nilai tambah kepada corak pemainan pasukan nanti.

“Kita sambut baik kehadiran mereka di mana KL City sentiasa mahu memberikan cabaran kepada pasukan lain termasuk cuba memburu kedudukan terbaik dalam liga.

“Terima kasih kepada Tunku Ismail dan saya harap pasukan dapat menampilkan permainan yang baik serta meraih keputusan cemerlang,” katanya kepada Arena Metro.

Terdahulu, KL City turut mengesahkan melantik pengendali baharu, Risto Vidakovic bagi menggantikan Miroslav Kuljanac.

Skuad The City Boys dijadual memulakan latihan pra musim pada 5 Julai ini dengan menampilkan gabungan pemain lama dan baharu termasuk tonggak muda dari pasukan belia yang dinaikkan pangkat.

Antara muka lama yang masih dikekalkan adalah penjaring terbanyak pasukan, Paulo Josue; tonggak pertahanan kental, Giancarlo Gallifuoco; pemain tengah kreatif, Zhafri Yahya; pemain tinggi lampai, Kenny Pallraj; penjaga gol berpengalaman, Hafizul Hakim dan lain-lain.

Syed Yazid yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) mengakui beberapa perubahan dan penambahbaikan sudah dan sedang dilakukan termasuk menyediakan pusat latihan sendiri untuk keselesaan pemain.

“Kita sudah kenal pasti beberapa tempat untuk latihan pasukan. DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) melalui Datuk Bandar banyak membantu pasukan, termasuk Penaung KL City, Datuk Fahmi Fadzil yang sentiasa mahu meningkatkan kualiti pasukan,” katanya.

Ujarnya lagi, penyokong setia Warga Kota pasti teruja menantikan jersi baharu KL City yang bakal tampil dengan keunikan tersendiri.

“Mungkin untuk musim baharu ini kita akan tampilkan kelainan pada jersi. Saya tidak mahu umumkan lagi sekarang, saya harap penyokong dapat nantikan apabila ia mula dijual nanti,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top