Azeem idam pingat di Kejohanan Universiti Dunia

Azeem idam pingat di Kejohanan Universiti Dunia

sukan@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Pemegang rekod kebangsaan dalam acara 100 meter (m), Muhammad Azeem Mohd Fahmi idam membawa pulang pingat buat kontinjen Malaysia dalam Kejohanan Universiti Dunia di Jerman pada Julai ini.

Pelari berusia 21 tahun itu kelahiran Teluk Intan, Perak berkata, dia akan berusaha sebaik mungkin bagi memastikan misi mencipta sejarah muncul pelari negara pertama negara menghadiahkan pingat dalam kejohanan itu tercapai.

“Buat masa sekarang, selesai kejohanan NCAA (Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan) di Amerika Syarikat, saya kini fokus untuk membawa pulang pingat buat kontinjen Malaysia dalam kejohanan di Jerman bulan depan.

“Persediaan semua kini berjalan lancar dengan bimbingan jurulatih, cumanya pada masa sama saya tidak dapat mengelak jika berlaku masalah kesihatan sebagaimana hari ini (semalam).

“Tapi dengan berbaki kira-kira tiga minggu lagi sebelum berangkat ke Jerman pada 18 Julai ini, selepas pulang dari Terengganu saya akan meneruskan sesi latihan seperti biasa dengan harapan tiada kecederaan,” katanya ketika ditemui selepas beraksi di peringkat separuh akhir kejohanan Varsity Track & Field (VTF) Sirkit 2 di Stadium Universiti Sultan Mizan Zainal Abidin (UniSZA) semalam.

Ketika ditanya mengenai sasaran catatan masanya pada kejohanan itu nanti, Muhammad Azeem yang kini melanjutkan pengajian di Universiti Auburn, Amerika Syarikat (AS) bagi mengembangkan kerjaya olahraganya akui tidak sasarkan masa tertentu.

“Mengikut catatan masa terbaik saya ialah 10.9s yang juga rekod kebangsaan manakala 10.1s itu adalah bantuan angin, tapi untuk kejohanan di Jerman saya tidak meletakkan sasaran masa yang tertentu.

“Tapi sudah tentu saya mahu catatan masa lebih baik berbanding rekod saya sebelum ini lebih-lebih lagi saya berada dalam keadaan prestasi terbaik berbanding dari tahun lepas.

“Macam tahun lepas nak lepas 10.30s pun susah tapi tahun ini saya dah lari 10.20s sebanyak empat kali. Lagipun saya lari 10.20s tidak ‘habiskan’ larian kerana mengalami harmstring ketika itu.

“Jadi target saya untuk di Jerman nanti tiada sasaran masa yang tetap, cuma misi mahu melayakkan diri ke pentas final terlebih dahulu bawah 10.28s kerana tiada lagi pelari dari Malaysia yang layak ke Kejohanan Universiti Dunia sebelum ini.

“Tapi sejujurnya ianya bukan mudah kerana saingan daripada pelumba lain begitu hebat seperti dari Afrika Selatan, Neo Mosebi yang melakar catatan masa 10.08s.

“Jadi harap peminat tanah air dapat mendoakan kejayaan saya layak ke pusingan akhir dan seterusnya membawa pulang pingat buat kontinjen Malaysia,” kata Azeem yang menjadikan pelari Kanada, Andre de Grasse sebagai idolanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top