Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menggesa polis mengambil tindakan tegas dan menyeluruh bagi membanteras kegiatan pemberi pinjam wang haram atau ah long yang semakin berani menggugat keselamatan awam.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, orang ramai yang berkeperluan tidak sepatutnya terjebak dengan pinjaman haram sebaliknya mendapatkan bantuan kewangan melalui saluran yang sah.
“Orang ramai boleh mendapatkan pinjaman melalui saluran sah iaitu pemberi pinjam wang berlesen yang berdaftar di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Akta 400),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Elak pinjaman haram, guna saluran berlesen
Beliau berkata demikian susulan kejadian kebakaran yang memusnahkan tiga rumah teres, lima kereta dan empat motosikal di Taman Tasek Gelugor Utama, Pulau Pinang pada awal pagi Selasa lalu.
Menurut laporan, kejadian sekitar jam 4.50 pagi itu dipercayai berpunca daripada perbuatan khianat oleh pihak tertentu yang dikaitkan dengan sindiket ah long.
Seorang mangsa turut memuat naik hantaran di Facebook mendakwa kejadian itu berpunca daripada tindakan dendam pemberi pinjam wang haram terhadap rumah lain.
Nga menjelaskan, kadar faedah yang dibenarkan untuk pinjaman melalui saluran sah adalah terkawal.
“Di bawah akta tersebut, kadar faedah bagi pinjaman tanpa cagaran tidak boleh melebihi 18 peratus setahun dan bagi yang bercagar tidak melebihi 12 peratus setahun.
“Pemberi Pinjam Wang juga tidak boleh mengenakan jumlah kadar faedah pada suatu jumlah yang melebihi jumlah pokok,” katanya lagi.
Menurut beliau, KPKT memandang serius kegiatan pinjaman wang haram yang kerap mengambil kesempatan terhadap individu berpendapatan rendah dan terdesak.
“Ah long atau pemberi pinjam wang haram sering memerangkap individu dalam kitaran hutang ganas melalui kadar faedah melampau, gangguan serta keganasan,” ujarnya.
Artikel lain: Insiden Putra Heights: KPKT laksana pelan tindakan, peruntuk RM2 juta baik pulih infrastruktur awam terjejas
Tambah beliau, Akta 400 juga melarang pemberi pinjam wang berlesen daripada mengunjungi rumah atau tempat kerja peminjam bagi menuntut bayaran balik pinjaman dengan cara mengugut.
Sehubungan itu, orang ramai digesa melaporkan sebarang pelanggaran undang-undang kepada KPKT atau pihak polis agar tindakan segera dapat diambil terhadap pihak yang terlibat.
“Orang ramai juga dinasihatkan untuk sentiasa menyemak pemberi pinjam wang yang berlesen dan berdaftar dengan KPKT melalui aplikasi i-Kredikom atau menghubungi pihak kementerian,” jelas Nga.
Beliau turut menegaskan komitmen KPKT untuk memperkukuh penguatkuasaan serta memperluas kesedaran awam mengenai bahaya pinjaman tidak berlesen.
Sumber: IG BERNAMA TV