am@hmetro.com.my
Seremban: Pelancaran rasmi Kompleks Arena Seremban, di sini, merealisasikan lima komponen gaya hidup moden dan pencapaian penting dalam pembangunan bandar raya ini.
Kompleks berkenaan dilengkapi stadium tertutup bertaraf dunia setinggi tujuh tingkat dengan kapasiti 3,000 tempat duduk, Arena Premier Hotel, Menara Karisma dan Arena Residences.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kompleks itu dibangunkan Karisma Perwira Sdn Bhd dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM250 juta.
“Kompleks Arena Seremban adalah contoh terbaik bagaimana sektor swasta dapat memainkan peranan penting dalam membantu memperkukuhkan ekosistem pembangunan Negeri Sembilan secara keseluruhan.
“Ia salah satu projek pembangunan ikonik yang akan memperkukuhkan lagi landskap pembangunan bandar Seremban,” katanya dalam ucapan perasmian kompleks itu, hari ini.
Aminuddin berkata, kompleks itu dibangunkan secara bersepadu di atas tapak seluas 4.45 ekar dengan jumlah ruang binaan melebihi 650,000 kaki persegi.
“Seperti yang dimaklumkan, pembangunan ini merangkumi lima komponen utama yang saling melengkapi, bukan sahaja memperlihatkan pendekatan pembangunan bersepadu yang moden, malah menjadikan kompleks ini sebagai nadi baharu bagi aktiviti sukan, pelancongan, perniagaan, gaya hidup serta perkembangan komuniti di Seremban,” katanya.
Lebih membanggakan, katanya, Karisma Arena sebuah stadium tertutup serba moden bakal menjadi gelanggang rasmi kepada pasukan NS Matrix Basketball, pasukan kebanggaan negeri yang mengharumkan nama Negeri Sembilan di persada sukan bola keranjang.
“Di samping itu, Kompleks Arena Seremban turut berpotensi untuk menganjurkan pelbagai acara bertaraf antarabangsa seperti kejohanan sukan dalaman, pertandingan e-sukan, ekspo kecergasan, seminar korporat, konsert dan pelbagai lagi acara komuniti,” katanya.
Ujarnya, pembangunan ini amat bertepatan dengan aspirasi dan hala tuju Kerajaan Negeri Sembilan dalam merangka pembangunan yang bersifat inklusif, mampan dan berdaya saing.
© New Straits Times Press (M) Bhd