Dua faktor utama yang dikenal pasti sebagai punca kerosakan jalan di seluruh negara adalah keadaan cuaca hujan serta kenderaan berat yang membawa lebih muatan.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kementerian memerlukan sebanyak RM4 bilion bagi membaik pulih dan menaik taraf jalan, namun setakat ini hanya menerima kira-kira separuh daripada jumlah tersebut.
“Memang untuk membaik pulih dan menaik taraf jalan di seluruh negara kita memerlukan RM4 bilion, namun kita tidak pernah mendapat peruntukan sebanyak itu, sebaliknya kita mendapat hampir RM2 bilion sahaja kerana kerajaan sendiri mempunyai kekangan tertentu.
“Namun kita sentiasa berharap akan mendapat peruntukan yang lebih setiap tahun bagi membaik pulih jalan yang rosak kerana ada jalan sudah ‘berusia’ dan permukaannya perlu diturap,” katanya.
RM4 bilion diperlukan baiki jalan rosak
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bachok, hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata kementerian sebelum ini pernah mencadangkan agar kutipan berkaitan cukai jalan dan saman had laju yang dibuat oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) diserahkan kepada Kementerian Kerja Raya (KKR) untuk digunakan dalam kerja-kerja penyelenggaraan jalan.
“Perkara ini sudah pun disuarakan, namun tidak mendapat maklum balas.
“Justeru, sekiranya ada cadangan daripada pihak tertentu untuk menaikkan cukai bagi kenderaan yang membawa muatan berat, kita serahkan kepada dua kementerian iaitu Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengangkutan,” katanya.
Artikel lain: “Tak berlubang, bukan tayar pecah…”– Ahmad Maslan tepis dakwaan jalan lokasi nahas UPSI rosak
Sebelum ini, Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia, Law Teik Hua mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan cukai tambahan ke atas lori dan treler yang menjadi antara penyumbang utama kepada kerosakan jalan.
Katanya, cukai itu boleh membantu KKR menampung kos baik pulih jalan raya yang kini mencecah RM4 bilion setahun.
Sumber: Harian Metro (Nor Fazlina Abdul Rahim)