Kota Tinggi: Dua lelaki warga emas maut manakala sembilan lagi termasuk bayi berusia tujuh bulan cedera ringan dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan berhampiran Felda Pasak, Jalan Desaru-Kota Tinggi di sini petang tadi.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor memaklumkan bahawa pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.17 petang, sebelum tiba di lokasi 11 minit kemudian dengan kekuatan enam anggota dan sebuah jentera FRT.
“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi, didapati kemalangan melibatkan lima kenderaan iaitu Toyota Corolla, Perodua Axia, lori Hino, Proton Saga dan Perodua Bezza.
“Terdapat 11 mangsa terlibat dalam kejadian itu, termasuk dua lelaki warga emas berusia 69 dan 74 tahun yang menaiki Toyota Corolla. Mereka didapati tersepit di dalam kenderaan dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sembilan lagi mangsa berusia antara tujuh bulan hingga 52 tahun mengalami kecederaan ringan dan telah keluar dengan sendiri daripada kenderaan yang dinaiki, sebelum pasukan bomba tiba, serta telah menerima rawatan awal oleh pihak KKM.
“PKO bertindak mengeluarkan kedua-dua mangsa tersepit menggunakan peralatan khas sebelum menyerahkan kepada pihak KKM dan polis untuk tindakan lanjut.
“Setelah selesai mengeluarkan mangsa, PKO memastikan kawasan selamat dan tiada lagi mangsa terlibat, operasi ditamatkan pada jam 5.47 petang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd