Tapak nuklear 'musnah total'

Tapak nuklear 'musnah total'

Pada 22 Jun lalu, Amerika Syarikat (AS) mengumumkan pihaknya melancarkan serangan di tiga tapak di Iran. Ia menyasarkan loji pengayaan nuklear bawah tanah yang penting di Fordow, di samping kemudahan di Natanz dan Isfahan.

Presiden Donald Trump dalam sidang media di Washington pada malam hari sama berkata, serangan udara AS ‘memusnahkan sepenuhnya’ tapak nuklear utama Iran.

Dalam taklimat berasingan pula, Ketua Turus Bersama, Dan Caine memperincikan operasi yang dinamakan sebagai Operation Midnight Hammer itu.

Berikut adalah kronologi serangan berkenaan seperti dilaporkan South China Morning Post, Reuters dan AFP.

Untuk rekod, Waktu Timur (Eastern Time, disingkatkan kepada ET) merujuk kepada zon waktu di pantai timur Amerika Utara dan pantai barat Amerika Selatan.

l

12 tengah malam Waktu Timur (ET) (12 tengah hari waktu Malaysia)

Pesawat pengebom B-2 dilancarkan dari AS

Pesawat pengebom B-2 berlepas dari Pangkalan Tentera Udara Whiteman di Missouri, Sebahagian daripadanya menuju ke barat. Ia bertujuan untuk mengalihkan perhatian daripada pasukan serangan utama yang terdiri daripada tujuh pesawat pengebom yang dalam perjalanan ke timur, iaitu ke Iran.

Puluhan pesawat tangki menyediakan pengisian bahan api di udara untuk pesawat pengebom B-2 di beberapa lokasi di atas Lautan Atlantik.

l

Kira-kira 5 petang ET (5 pagi waktu Malaysia)

Pesawat pejuang bergabung dengan pesawat B-2

Selepas kira-kira 18 jam penerbangan, pesawat B-2 memasuki ruang udara yang dikawal oleh Komando Pusat AS (CENTCOM), yang bertanggungjawab untuk operasi ketenteraan di seluruh Timur Tengah, dan bergabung dengan pesawat pejuang yang mengiringi pesawat pengebom itu ke Iran.

l

Kira-kira 5 petang ET (5 pagi waktu Malaysia)

Kapal selam AS menyerang tapak nuklear Isfahan Iran

Sebelum pasukan serangan memasuki Iran, sebuah kapal selam AS melancarkan lebih daripada dua dozen peluru berpandu jelajah Tomahawk ke tapak nuklear Isfahan di Iran.

l

Dari 6.40 petang hingga 7.05 malam ET (6.40 pagi hingga 7.05 pagi Waktu Malaysia)

Tapak nuklear Fordow dan Natanz Iran diserang

Pesawat pengebom membedil tapak nuklear di Fordow dan Natanz. Peluru berpandu jelajah yang dilancarkan oleh kapal selam AS pula mengenai Isfahan. Kira-kira 75 peluru berpandu tepat sasaran digunakan semasa serangan. Ini termasuk 14 bom GBU-57 Massive Ordnance Penetrator (MOP), atau ‘penembus bunker’ yang direka untuk mengenai sasaran tertanam jauh di dalam tanah.

l

Kira-kira 7.30 malam ET (7.30 pagi Waktu Malaysia)

Penerbangan pulang ke AS

Pesawat pengebom B-2 meninggalkan ruang udara Iran dan memulakan penerbangan pulang ke AS.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top