Pada waktu ini, peta geopolitik dunia bergolak hebat dengan perang di Gaza berlarutan, konflik Iran-Israel, campur tangan Amerika Syarikat menekan keamanan, politik dan ekonomi global, Sudan terperangkap dalam krisis kemanusiaan serta Islamofobia di Barat berkembang di sebalik slogan ‘kebebasan bersuara.’
Riuh rendah maklumat palsu dan propaganda halus melahirkan suasana kecurigaan, fitnah dan permusuhan yang menuntut umat Islam memaknai semula hijrah mereka dalam konteks semasa.
Kita sedia maklum, hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah bukan semata-mata perpindahan fizikal, tetapi perubahan paradigma yang melahirkan tamadun baharu berasaskan iman, ilmu dan kesatuan ummah. Apabila memuncaknya agenda serta propaganda Barat dan Zionis, semangat hijrah mesti diterjemah sebagai iltizam memperkasa diri, keluarga, masyarakat dan negara.
Hijrah: Transformasi dan amal
Al-Quran menegaskan golongan yang ‘beriman, berhijrah dan berjihad di jalan Allah’, mereka itulah yang mengharap rahmat-Nya” (Surah al-Baqarah ayat 218).
Tiga paksi ini, iman yang kukuh, langkah hijrah yang berani, serta jihad dalam pelbagai bentuk merangka pelan tindakan seseorang Muslim.
Dalam konteks hari ini, jihad bukan terhad pada mengangkat senjata dan peluru berpandu yang canggih, tetapi merangkumi usaha gigih menuntut ilmu pengetahuan, mempertahankan kesahihan serta kebenaran maklumat, membina kekuatan ekonomi di segenap sudut dan memperjuangkan keadilan sosial.
Realiti fitnah dan kesengsaraan antarabangsa
Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud: “Mereka tidak akan berhenti memerangi kamu sehingga mereka memalingkan kamu daripada agama kamu.” (Surah al-Baqarah ayat 217)
Ayat ini mengingatkan bahawa cabaran terhadap akidah dan syariat umat ini tidak pernah dan tidak akan reda. Serangan ketenteraan bertali arus di Gaza bukan sahaja menumpahkan darah, malah disertai pertempuran naratif di media arus perdana dan media sosial.
Nilai keluarga pula dibelasah ideologi liberal melampau, ekonomi dunia dibelit sistem riba, budaya hedonisme menular melalui gajet di tangan anak kita. Justeru, umat Islam tidak boleh terus pasif dan senyap seribu bahasa.
Peranan pertama: Teguhkan akidah dan ilmu
Allah SWT berjanji dalam al-Quran yang bermaksud: “Allah meninggikan darjat orang yang beriman dan berilmu.” (Surah al-Mujadalah ayat 11)
Kefahaman Islam yang sahih benteng utama menapis dakyah membelit kehidupan. Hidupkan budaya tadabbur al-Quran di rumah, hadiri kuliah sirah, fiqh semasa dan usrah keluarga secara konsisten.
Peranan kedua: Perpaduan dan solidariti ummah
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya orang beriman itu bersaudara.” (Surah al-Hujurat ayat 10)
Persaudaraan Islam melepasi sempadan bangsa, mazhab dan negara. Rasulullah SAW mengingatkan: “Muslim itu saudara Muslim, dia tidak menzaliminya dan tidak menyerahkannya (kepada musuh).”
Solidariti terhadap Palestin dan umat Islam tertindas wajar diterjemah melalui sumbangan kemanusiaan telus, tekanan diplomatik serta kempen pengguna yang menolak syarikat terbabit penindasan.
Pada masa sama, perpaduan tempatan perlu diperkukuh, elak perbalahan remeh, bangunkan rangkaian masjid, penubuhan bukan kerajaan (NGO) dan institusi pendidikan yang saling membantu dan menguatkan.
Peranan ketiga: Literasi media dan amar makruf nahi mungkar
Nabi SAW bersabda dalam hadis yang bermaksud: “Barang siapa antara kamu melihat kemungkaran maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangan; jika tidak mampu, dengan lidah; jika tidak mampu, dengan hati dan itu selemah-lemah iman.” (Hadis Riwayat Muslim).
Dalam era media sosial yang semakin meluas, ‘lidah’ diterjemah sebagai status, video, ciapan atau podcast. Sebelum berkongsi berita, semak sumber dan sebelum menulis, ukur kesannya.
Gunakan platform digital untuk menyebar fakta, akhlak dan keindahan Islam. Sikap ini menangkis fitnah sekali gus memulih imej umatIslam ke arah yang lebih positif.
Peranan keempat: Kekuatan ekonomi sebagai maruah
Selain itu, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Tangan di atas lebih baik daripada tangan di bawah.” (Hadis Riwayat al-Bukhari). Ini menegaskan keutamaan menjadi pemberi, bukan peminta. Dominasi Barat-Zionis dalam kewangan global hanya boleh dilawan dengan pembangunan ekonomi ummah iaitu koperasi patuh syariah, wakaf korporat, rantaian bekalan halal dan inovasi teknologi. Sokong dan promosi produk usahawan Muslim, rancang tabung pendidikan, tanam budaya menabung dan pelaburan telus serta beretika. Oleh itu, ekonomi mapan menjadikan kita pemain, bukan bidak catur geopolitik.
Peranan kelima: Memperkasa institusi keluarga
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Setiap kamu adalah pemimpin dan akan dipertanggungjawabkan atas yang dipimpinnya.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Bapa, ibu, bahkan semua anak dalam keluarga berperanan menjaga akidah dan akhlak isi rumah masing-masing. Jadikan qiyamullail sebagai rutin harian, baca doa yang sahih dan sunah bersama-sama dan bentuk ‘majlis ilmu mini’ mingguan untuk berbicara isu semasa daripada perspektif syarii dan akhlak. Akhirnya keluarga yang kukuh melahirkan masyarakat berprinsip.
Peranan keenam: Dakwah dan diplomasi rahmah
Allah mengingatkan dalam al-Quran yang bermaksud: “Kami tidak mengutus engkau (Muhammad) melainkan sebagai rahmat bagi seluruh alam.” (Surah al-Anbiya ayat 107)
Di pejabat, ladang, kampus atau Parlimen, tunjukkan integriti, ihsan dan profesionalisme. Artikel ilmiah, dokumentari, debat dasar, ini semua medan dakwah memerlukan hujah berfakta bukan retorik emosi. Senyuman ahli perniagaan Muslim, kecemerlangan doktor Muslim, kepakaran saintis Muslim itulah soft power menawan hati manusia melebihi propaganda Barat.
Doa, sabar dan harapan
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Akan datang suatu masa, orang yang sabar berpegang pada agamanya seperti menggenggam bara api.” (Hadis Riwayat al-Tirmizi)
Gambaran ini persis suasana hari ini. Namun janji Allah tetap teguh dalam al-Quran yang bermaksud: “Jika kamu menolong agama Allah, Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.” (Surah Muhammad ayat 7)
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia; kamu menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar.” (Surah ali Imran ayat 110)
Maal Hijrah bukan ritual nostalgik, tetapi lebih kepada pelan tindakan tahunan. Mari kita berhijrah daripada mentaliti reaktif kepada proaktif, daripada ketakutan kepada keyakinan, daripada sibuk menuding kepada sibuk menyumbang. Jika generasi Madani mampu uubah gurun gersang menjadi pusat peradaban, kita dengan teknologi di hujung jari dan kesedaran kolektif mampu jadikan Islam rahmat untuk dunia.
Sambut Awal Muharam tahun ini dengan azam baharu iaitu membina tamadun ilmu, ekonomi dan akhlak menundukkan agenda fitnah global, insya-Allah.
Penulis Profesor Madya Bahasa Arab Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
© New Straits Times Press (M) Bhd