Minggu lalu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengumumkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) secara dasarnya bersetuju untuk meneliti secara serius cadangan mewajibkan pendidikan prasekolah.
Pada sudut pendidikan, pengumuman ini adalah satu usaha yang baik dan selari dengan hasrat untuk meningkatkan akses kepada pendidikan prasekolah.
Kebanyakan kanak-kanak di Malaysia memulakan pendidikan prasekolah pada umur enam tahun manakala sebahagian kecil memulakan prasekolah di usia lima tahun iaitu selama dua tahun sebelum ke Tahun Satu sekolah rendah.
Dalam konteks Malaysia, walaupun enrolmen kanak-kanak ke prasekolah semakin meningkat berbanding 10 tahun lalu, Laporan Bank Dunia bertajuk Shaping First Steps: A Comprehensive Review of Preschool Education in Malaysia yang diterbitkan pada Mei 2023 menunjukkan kadar enrolmen kanak-kanak pendidikan prasekolah di Malaysia sekitar 86 peratus sahaja.
Kadar ini masih rendah berbanding negara serantau di ASEAN. Usaha melaksanakan pendidikan wajib untuk prasekolah akan secara langsung meningkatkan akses kanak-kanak ke pendidikan prasekolah.
Pendidikan prasekolah merujuk kepada fasa awal pendidikan formal bagi kanak-kanak biasanya berusia tiga hingga enam tahun sebelum memasuki sekolah rendah.
Di Malaysia, prasekolah masih belum diaktakan sebagai pendidikan wajib, namun dianggap sebagai landasan penting dalam perkembangan fizikal, kognitif, sosial dan emosi anak di peringkat paling awal pembelajaran di luar lingkungan keluarga.
Kurikulum Berasaskan Standard Prasekolah Kebangsaan dilaksanakan sejak 2010 dan disemak pada 2017, merupakan pembelajaran asas untuk persediaan kanak-kanak ke alam persekolahan rendah dan menjadi asas kepada pendidikan yang menekankan keseimbangan perkembangan keseluruhan anak.
Kenapa pendidikan prasekolah penting? Institusi ini adalah tapak persediaan awal dan tempoh penting bagi pembentukan asas komunikasi, keupayaan numerasi, kreativiti dan sosial setiap kanak-kanak.
Kajian UNESCO dan Bank Dunia menunjukkan penyertaan awal dalam pendidikan awal kanak-kanak memberi manfaat jangka panjang kepada kanak-kanak dari segi kesediaan emosi mereka untuk ke sekolah, pengesanan awal kecenderungan pembelajaran, diagnosis keupayaan kognitif serta pemantauan kesihatan dan tumbesaran.
Malah kajian oleh dua badan global ini juga mengesahkan kanak-kanak yang belajar di prasekolah mempunyai kecenderungan lebih tinggi untuk mencapai kejayaan akademik apabila berada di alam persekolahan seterusnya.
Kanak-kanak ini juga mempunyai tahap penguasaan bahasa lebih baik berbanding kanak-kanak yang tidak mengikuti pendidikan prasekolah. Pendidikan prasekolah adalah asas untuk negara ini menjayakan pendidikan berkualiti.
Memperkasakan pendidikan prasekolah seperti usaha mewajibkannya akan secara langsung meningkatkan kesaksamaan peluang pendidikan kepada kanak-kanak dari pelbagai latar belakang sosioekonomi.
Buat masa ini, Laporan Bank Dunia mengesahkan di negara ini masih terdapat jurang akses terutamanya di kawasan luar bandar disebabkan kekurangan kemudahan infra dan kesedaran rendah dalam kalangan ibu bapa di luar bandar dan pedalaman.
Data terkini Pendidikan Prasekolah di Malaysia oleh Bank Dunia cukup menarik untuk diteliti. Misalnya, data pada 2022 menunjukkan terdapat negeri seperti Kelantan dan Sabah yang mempunyai lebihan penawaran tempat untuk prasekolah. Maksudnya, ada kelas prasekolah dan ada guru bersedia untuk mengajar tetapi tidak ramai kanak-kanak mendaftar ke prasekolah di negeri tersebut.
Bank Dunia juga melaporkan Sabah sahaja terdapat lebihan penawaran tempat untuk pra sekolah sebanyak 11,064 kekosongan, di Sarawak sebanyak 17,541 kekosongan dan di Kelantan, 4,695 kekosongan. Begitu juga dengan Kedah, Perak dan Pahang.
Tetapi pada masa sama, terdapat keperluan mendesak atau lebihan permintaan untuk prasekolah seperti di Selangor sebanyak 11,314 tempat dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 3,262 tempat. Jelas sekali perlu diteliti ketidakseimbangan ini supaya peluang anak-anak ke prasekolah akan lebih saksama di negara ini.
Satu perkara lain yang juga perlukan perhatian adalah kelayakan dan kualiti guru prasekolah. Data Bank Dunia menunjukkan sejak 10 tahun lalu, bilangan kanak-kanak ke prasekolah swasta meningkat sehingga mencecah 55 peratus secara keseluruhannya manakala prasekolah kerajaan sekitar 45 peratus.
Tetapi yang tidak menggembirakan di dalam laporan Bank Dunia itu adalah hampir 75 peratus guru prasekolah swasta masih tidak memiliki kelayakan ikhtisas sekurang-kurangnya Diploma pendidikan awal kanak-kanak (ECE) manakala di prasekolah yang diuruskan oleh agensi kerajaan, hampir semua guru yang dilantik memiliki kelayakan ikhtisas sekurang-kurangnya Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak.
Maksudnya latihan dan kelayakan guru khususnya di prasekolah swasta mestilah diberikan perhatian yang lebih untuk memastikan anak-anak mendapat guru yang terlatih dalam pendidikan awal kanak-kanak.
Pendidikan prasekolah adalah asas penting dalam membentuk modal insan berkualiti. Dijangkakan dengan pembukaan lebih banyak kelas prasekolah di bawah inisiatif KPM sejak 2024, Malaysia akan mencatat peningkatan enrolmen melebihi 95 peratus dan melepasi enrolmen global yang ditetapkan oleh badan dunia seperti UNESCO dan OECD.
Namun, isu akses pendidikan prasekolah yang tidak seimbang mengikut wilayah, kualiti guru dan sistem penyelarasan prasekolah di bawah satu kementerian masih memerlukan keprihatian sewajarnya.
Pelaksanaan strategi seperti memperluas prasekolah di kawasan terpinggir, meningkatkan subsidi prasekolah berpandukan keperluan komuniti, melatih guru dengan modul profesional berterusan, menyelaraskan pentadbiran melalui badan pemantau prasekolah yang khusus, serta memperkaya kandungan kurikulum dengan pendekatan inovatif adalah jalan terbaik untuk memastikan institusi prasekolah menjadi platform pembangunan holistik anak-anak di peringkat awal pendidikan.
Menerusi pendekatan menyeluruh dan kerjasama antara agensi kerajaan, penyedia prasekolah swasta, ibu bapa, komuniti dan NGO, Malaysia mampu mengukuhkan pendidikan prasekolah dalam jangka masa terdekat.
Dr. Anuar Ahmad ialah Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia MINDA, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).