Misha Omar Akui Gementar Rakam Lagu ‘Break’, Teruja Dapat Bekerjasama Dengan Idola Sendiri

Misha Omar Akui Gementar Rakam Lagu ‘Break’, Teruja Dapat Bekerjasama Dengan Idola Sendiri

Penyanyi bersuara lunak, Misha Omar meluahkan rasa gementar dan teruja sepanjang proses rakaman single terbaharunya berjudul Break hasil ciptaan indah oleh Melly Goeslaw, dengan susunan muzik oleh penerbit terkenal Tohpati.

Menurut Misha atau nama sebenarnya Samihah @ Aisah Omar, 42, meskipun rakaman lagu bukan perkara asing buatnya, pengalaman bekerjasama dengan tenaga produksi luar negara memberikan tekanan tersendiri.

“Secara keseluruhan, cara kerja mereka hampir sama, cuma mungkin saya saja yang lebih gementar kerana mahu berikan yang terbaik. Dalam masa sama, saya juga berada di tempat asing dan dikelilingi individu yang berbeza,” katanya.

Kata Misha, pada awalnya dia mengalami sedikit kesukaran untuk menyesuaikan diri, apatah lagi dirinya lebih selesa dan ‘hidup’ sewaktu membuat persembahan pentas berbanding ketika berada di studio rakaman.

“Setiap kali masuk studio, saya akan baca pelbagai doa. Saya bukan jenis yang terus ‘on’ bila di depan mikrofon. Jadi memang ambil sedikit masa untuk sesuaikan diri,” katanya.

Lebih menarik, demi memastikan kualiti vokal yang optimum, Toh Pati turut menyediakan khidmat seorang vocal stylist profesional dari Indonesia untuk membimbing Misha sepanjang sesi rakaman, selain mendapat bimbingan daripada guru vokal tersohor tanah air, Datuk Syafinaz Selamat.

“Saya belajar banyak perkara. Kreativiti mereka memang tinggi, mereka tahu bagaimana mahu menambah rencah agar ia tidak klise.

“Jika orang sudah tahu karakter vokal Misha bagaimana, kami cuba cari apa lagi yang boleh digarap dan diolah agar lebih segar,” katanya.

Tambah Misha, mereka turut memberi perhatian terhadap ton suara serta cara penyampaian, sekali gus mendorongnya bekerja lebih keras untuk menyampaikan emosi lagu dengan lebih mendalam.

Mengulas lanjut, penyanyi lagu Sampai Bila itu turut menyifatkan pengalaman bekerjasama dengan Toh Pati sebagai satu momen istimewa, memandangkan komposer itu merupakan idolanya sejak sekian lama.

“Ia pengalaman yang sangat berharga kerana saya memang meminati karya-karya Toh Pati. Jadi apabila berpeluang bekerja dengan idola sendiri, secara tidak langsung rasa kagum itu buat saya lebih bersemangat dan tidak mahu mengecewakannya. Susunan muziknya juga sangat hebat,” ujarnya.

Berkongsi mengenai lagu Break, Misha menjelaskan karya berkenaan mengangkat tema perpisahan daripada sudut pandang seorang wanita yang sudah penat berada dalam hubungan yang kosong dan hambar.

“Ia berkisar tentang seorang wanita yang sudah lelah… berada dalam perhubungan yang tidak lagi bermakna, hanya tinggal rutin tanpa perasaan. Maka, keputusan paling berani dan waras adalah untuk berpisah,” katanya lagi.

Katanya lagi, berbeza dengan lagu-lagunya sebelum ini yang lebih sarat dengan emosi, Break hadir dengan aura lebih tenang namun tetap sarat dengan makna.

“Kali ini kami mahu tampilkan rasa nekad yang lahir selepas lama memendam rasa. Lagu ini lebih ‘ease’ dan cabaran paling besar adalah untuk mengekalkan ‘phrasing’ dalam satu nafas agar penyampaian emosinya lebih sampai.

“Vocal stylist juga banyak mengingatkan saya supaya tidak memutuskan frasa. Bayangkan satu ayat itu perlu disampaikan dalam satu nafas. Itu antara elemen penting untuk membina kekuatan lagu ini,” ujarnya.

Single Break kini boleh didengari di semua platform penstriman digital.

Scroll to Top