Syarikat gagal lunaskan saman yang diumumkan MOT akan disenarai hitam, sita

Syarikat gagal lunaskan saman yang diumumkan MOT akan disenarai hitam, sita

KOTA BHARU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menyenarai hitamkan syarikat-syarikat yang gagal melunaskan tunggakan saman dalam tempoh 14 hari sebagaimana pendedahan dibuat oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) minggu lalu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, kesemua kenderaan terlibat sama sekali tidak akan dibenarkan berada di atas jalan raya.

“Sekiranya kenderaan terlibat didapati berada di atas jalan raya, kita akan ambil tindakan dengan melakukan sitaan sebagaimana arahan diberikan oleh MOT.

“Pasukan saya sudah bersiap sedia, hari ke-15 kita akan bekerja (melakukan penguatkuasaan) jika tidak selesaikan saman,” katanya kepada pemberita pada perhimpunan setia JPJ di Dewan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Pengkalan Chepa di sini hari ini.

Aedy Fadly memberitahu, sebaik sahaja MOT membuat pengumuman berhubung tunggakan itu syarikat terbabit terus ke JPJ untuk membuat pembayaran.

Katanya, JPJ mengalu-alukan syarikat terbabit untuk berbincang dalam menyelesaikan tunggakan saman tersebut jika tidak sebagaimana yang mereka perolehi.

Media sebelum ini melaporkan, MOT mendedahkan sebanyak 28 syarikat kenderaan barangan dan syarikat pengendali bas ekspres direkodkan masing-masing mempunyai lebih 1,000 dan 200 saman tertunggak aktif JPJ

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pendedahan senarai itu merupakan langkah drastik susulan kebimbangan rakyat terhadap peningkatan kemalangan membabitkan kenderaan berat dan bas ekspres.-UTUSAN

Scroll to Top