Pelakon jelita, Natasha Hudson, mengundang perhatian ramai apabila berkongsi semula kisah perjalanannya berhijrah yang penuh jatuh bangun sejak sedekad lalu.
Menerusi satu video menyentuh hati di Instagram (IG), Natasha mengungkap momen simbolik yang membuka lembaran baru dalam hidupnya.
Menurut Natasha, sehelai khimar (tudung labuh) yang dibelinya ketika menunaikan umrah pada tahun 2012 menjadi saksi penting kepada titik perubahan dalam kehidupannya.
“Ini merupakan khimar pertama saya yang dibeli ketika menunaikan umrah pada 2012. Saya tidak pernah berikan kepada sesiapa. Ramai yang telah menyaksikan perjalanan saya dari fasa mencari ilmu, bangkit, berubah dan kembali semula ke landasan,” katanya.
Natasha turut menyentuh satu detik luar biasa yang berlaku pada 6 Jun lalu iaitu tarikh ulang tahun kelahiran anaknya, Kaia.
Pada hari itu, dia berkongsi sehelai selendang yang dibelinya tahun lalu sambil memohon doa dari pengikut agar dipermudah urusan untuk berhijrah.
“Banyak perkara berlaku hingga sukar untuk saya tahu dari mana mahu bermula. Namun saya sedar, semuanya adalah peringatan. Salah satunya pada 6 Jun, hari lahir Kaia. Pada hari sama, tuan rumah saya meninggal dunia di Arafah dalam keadaan hujan rahmat,” kongsinya lagi.
Bagi Natasha, semua yang berlaku bukan sekadar kebetulan, malah menjadi dorongan untuk kembali mencari kekuatan dalam mendekatkan diri kepada Sang Pencipta.
“Selama bertahun-tahun, saya melalui fasa penyembuhan rohani. Pada 7 Jun, tanpa dirancang, saya kemas pakaian sopan untuk ke Kuala Lumpur. Hanya kerana ia datang dari hati. Saya pakai semula selendang itu, ziarah pusat Islam lama, hadiri kelas… jiwa saya perlukan pengisian,” katanya.
Menginsafi setiap pengalaman hidup, pelakon drama Chermin itu menzahirkan harapan agar dirinya terus diberi ruang untuk berkembang, setelah lama melalui liku kehidupan.
Natasha juga menyeru orang ramai agar menghargai peluang yang hadir dalam hidup untuk kembali memperbaiki diri.
“Semua ini tentang kembali dari kosong, dan menghargai apa yang pernah ada. Saya harap saya juga akan berkembang mekar semula, insya-Allah. Dan semoga Allah kurniakan pengakhiran yang baik buat saya, keluarga dan seluruh umat.
“Syukuri setiap peluang yang hidup beri… peluang untuk kembali, untuk mencintai, untuk bertaubat, dan untuk menyala semula dengan tujuan,” katanya lagi.
Terdahulu, penampilan Natasha menjadi bualan ramai selepas tidak lagi mengenakan hijab sejak 2022, bahkan selebriti ini juga pernah berniqab sekitar 2016.