Topuria tunai janji ‘tidurkan’ Oliveira

Topuria tunai janji ‘tidurkan’ Oliveira
Ilia juara baharu lightweight UFC. Foto Agensi

Ilia juara baharu lightweight UFC. Foto Agensi

ILIA Topuria meneruskan rentak luar biasanya dalam UFC apabila mencatat kemenangan knock out (KO) ketiga berturut-turut, kali ini ke atas Charles Oliveira (35-11-0) dalam acara utama UFC 317, sekali gus merangkul gelaran lightweight yang ditinggalkan oleh Islam Makhachev.

Pertarungan yang berlangsung di T-Mobile Arena pada Ahad itu menyaksikan ‘El Matador’ hanya memerlukan 2 minit 27 saat pada pusingan pertama untuk menamatkan cabaran Oliveira menerusi pukulan kombinasi kanan kiri yang tepat dan padu, sekali gus memaksa pengadil menghentikan perlawanan serta-merta.

Beberapa hari sebelum pertarungan berlangsung, Topuria berjanji akan ‘menidurkan’ Oliveira seawal pusingan pertama, suatu nada keyakinan yang disalah anggap sebagai ego besar oleh peminat UFC terhadap petarung Georgia-Sepanyol itu.

Kemenangan ini melengkapkan trilogi KO sensasi Topuria selepas sebelum ini menewaskan dua bekas juara dunia, Alexander Volkanovski dan Max Holloway dalam divisyen featherweight.

Rekod bersih 17-0 kini mengangkat Topuria ke status elit dalam sejarah UFC dan lebih manis, beliau kini menyandang gelaran juara dalam dua divisyen berbeza: featherweight dan lightweight.

Kejayaan Topuria hadir selepas takhta lightweight dikosongkan susulan perpindahan Islam Makhachev ke divisyen welterweight awal bulan ini, sekali gus membuka ruang kepada pertembungan elit antara dua bekas pencabar utama.

“Saya adalah wajah petarung generasi baharu. Kini tiada lagi keraguan, sayalah pemilik sebenar lightweight UFC,” katanya.

Scroll to Top