Skuad Red Giants sedang 'buru' pemain baharu- Kinoshi

Skuad Red Giants sedang 'buru' pemain baharu- Kinoshi

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Skuad ini belum sempurna.”

Itu pengakuan jujur ketua jurulatih Selangor FC (SFC), Katsuhito Kinoshi yang memberi bayangan pasukannya belum selesai membentuk skuad terbaik menjelang sepak mula Liga Malaysia (Liga M) musim 2025/2026.

Menurut pengendali dari Jepun itu, masih ada ruang untuk penambahbaikan dan tidak menolak kemungkinan akan ada kejutan saat akhir, termasuk kemasukan pemain baharu ke dalam pasukan.

“Belum lagi (berpuas hati). Kita perlukan masa. Saya tidak boleh komen banyak kerana senarai rasmi belum diumumkan lagi,” katanya.

Kinoshi menjelaskan jendela perpindahan masih terbuka dan apa saja boleh berlaku, bukan sahaja kepada SFC tetapi juga pasukan lain dalam saingan Liga M.

“Sudah tentu lebih baik jika semuanya selesai awal, tetapi bola sepak ini penuh kejutan. Kita akan tahu hasil sebenar selepas jendela perpindahan ditutup nanti,” katanya.

Setakat ini, naib juara Liga Super 2024 itu sudah membawa masuk pemain sayap Thailand, Picha Autra sebagai wajah baharu untuk menguatkan cabaran musim ini.

Selain itu, dua pemain import iaitu Noor Al-Rawabdeh dan Mohamad Abualnadi turut disahkan kekal bersama ‘The Red Giants’ bagi memperkuatkan bahagian tengah dan pertahanan.

Spekulasi turut mengaitkan SFC dengan penyerang Brazil, Chrigor Moraes yang dikatakan hampir pasti menyertai pasukan selepas meninggalkan Buriram United dan PT Prachuap di Liga Thailand.

Dengan persaingan Liga M musim ini dijangka lebih sengit, penyokong setia Red Giants pasti menantikan detik pengumuman rasmi barisan penuh skuad SFC yang mungkin hadir dengan kejutan besar.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top