Qabil sambar tempat kedua

Qabil sambar tempat kedua

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelumba muda negara, Qabil Irfan Azlan mempamerkan aksi penuh mendebarkan pada ketika dirinya bangkit daripada ketinggalan sebelum meraih penamat kedua pada Perlumbaan 2 kelas ESBK Talent pada Pusingan 3 Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) di Litar Aragon, Sepanyol, hari ini.

Qabil yang memulakan saingan dari petak kedua perlumbaan 11 pusingan itu dengan cemerlang pada ketika dia mengekori rapat pendahulu Alessio Arnold dari pasukan Fullmoto Squadra Corse.

Momentum itu berjaya dikekalkan pelumba Frando Racing VHC Team itu sehingga pusingan keempat sebelum persaingan kelompok lima pelumba hadapan terus sengit apabila turut disertai Iker Rodriguez (MIR Racing Finework Cup Team) dan Enzo Zaragoza (Aspar KSB Technical Academy) yang memperlihatkan Qabil turun ke tempat keempat dan kelima ketika itu.

Begitupun Qabil seakan menemui rentak semula pada perlumbaan yang berlangsung dalam cuaca sekitar 33 darjah selsius itu apabila bangkit mempamerkan tunggangan menakjubkan di pusingan terakhir.

Qabil yang pada ketika itu berada di kedudukan keempat berjaya memintas dua pencabarnya sebelum memasuki selekoh terakhir dan mengakhiri perlumbaan dengan menemui garisan penamat di tempat kedua.

Pelumba dari Terengganu itu menamatkan saingan hanya 0.028 saat (s) di belakang pemenang kali ini Arnold manakala Zaragoza melengkapkan pentas podium di tangga ketiga.

“Perlumbaan yang sangat sukar dengan cuaca yang panas. Apapun saya gembira kerana dapat tempat kedua, terima kasih kepada semua,” kata Qabil dalam sesi temubual selepas perlumbaan.

Pusingan keempat musim dijadual berlangsung di Litar Navarra, Sepanyol dari 17 hingga 20 Julai ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top