66 kanak-kanak Gaza maut akibat malnutrisi

66 kanak-kanak Gaza maut akibat malnutrisi
Kebanyakan kanak-kanak mengalami kekurangan nutrisi yang teruk akibat sekatan ketat Israel.

Kebanyakan kanak-kanak mengalami kekurangan nutrisi yang teruk akibat sekatan ketat Israel.

GENTING GAZA – Jumlah kematian kanak-kanak Palestin disebabkan malnutrisi akut di Genting Gaza mencecah 66 orang selepas sekatan berterusan Israel memutuskan akses kepada bekalan penting termasuk susu formula ke wilayah tersebut.

Pejabat Media Gaza mengesahkan angka itu pada Sabtu ketika penduduk Palestin yang kelaparan terus dihujani serangan bertalu-talu.

“Kematian terbaharu itu termasuk tiga bayi yang meninggal dunia pada minggu lalu. Salah seorang daripadanya, Jouri al-Masri yang berusia tiga bulan di Deir al-Balah yang tidak mendapat susu terapeutik khas.

“Tindakan menyekat akses kepada keperluan untuk menyelamatkan nyawa jelas mencerminkan jenayah perang berterusan di Gaza.

“Penutupan sempadan juga satu bentuk jenayah kemanusiaan dan pelanggaran secara terang-terangan terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” ujar kenyataan pejabat itu lagi yang mengecam sikap berdiam diri yang memalukan komuniti dunia.

Pada Jumaat, Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus mendakwa krisis kemanusiaan di enklaf itu telah mencapai tahap malapetaka dahsyat.

Menurutnya, kira-kira 112 kanak-kanak terpaksa dimasukkan ke hospital pada setiap hari untuk mendapatkan rawatan malnutrisi.

Ketika ini, rejim Zionis terus memperhebatkan kempen pengeboman ke seluruh Gaza dan telah meragut puluhan nyawa.

Susulan insiden kematian yang terus meningkat di hab bantuan ciptaan Israel, Menteri Luar, Perancis, Jean-Noel Barrot menyatakan kesediaan mereka untuk membantu bagi memastikan agihan makanan yang selamat di wilayah tersebut.

Kenyataan itu dibuat beberapa hari selepas akhbar Haaretz mendedahkan tentera Israel diarahkan untuk menembak pencari bantuan yang semakin terdesak di Gaza. – Agensi

Scroll to Top