Media Prima menang 3 emas, 4 merit pada Kinabalu Press Awards 2025

Media Prima menang 3 emas, 4 merit pada Kinabalu Press Awards 2025

am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Kumpulan Media Prima Berhad (Media Prima) memenangi tiga anugerah emas dan empat hadiah merit pada Kinabalu Press Awards 2025, malam ini.

Wartawan TV3, Safwan Sawi and Mohammed Fairuz Yazzer, masing-masing memenangi emas bagi kategori Hiburan dan Kewartawanan Alam Sekitar.

Jurugambar, Mohd Adam Arinin pula memenangi emas bagi kategori Anugerah Gambar Terbaik.

Wartawan New Straits Times (NST), Ersie Anjumin memenangi hadiah merit bagi kategori Laporan Hiburan manakala Paul Mu serta Olivia Miwil turut menerima hadiah sama, masing-masing bagi kategori Alam Sekitar dan Kewartawanan Sukan.

Selain itu, Recqueal Raimi dari Harian Metro menerima hadiah merit bagi Kewartawanan Sukan.

Pada tahun ini, sebanyak 268 penyertaan diterima bagi anugerah berkenaan.

Pada masa sama, Persatuan Wartawan Sabah memberi penghormatan kepada Chan Kang Yuan, 90, sebagai “Tokoh Wartawan Sabah” atas dedikasi yang tidak berbelah bahagi, profesionalisme dan komitmennya yang berani dalam memberikan laporan yang benar sepanjang enam dekad kerjayanya.

Bermula pada 1958, Chan memulakan kerjaya sebagai copywriter dan kemudian menjadi ketua pengarang di beberapa akhbar berbahasa Cina, melaporkan detik penting dari zaman penjajahan hingga pembentukan Malaysia.

Beliau pernah ditahan selama 18 bulan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1969 kerana menentang penapisan, namun kembali ke dunia kewartawanan dengan semangat yang sama sehingga bersara pada 2021.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Joniston Bangkuai, yang mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Presiden Persatuan Wartawan Sabah, Mariah Doksil.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top