Tampil aksi terbaik

Tampil aksi terbaik

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Penghasilan Impak Maksima 2, sekuel dari filem popular Impak Maksima yang dihasilkan 18 tahun lalu sememangnya dinantikan peminat genre aksi.

Diarahkan oleh pengarah sama, Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri, barisan pelakonnya bagaimanapun bertukar ganti kepada muka-muka baru iaitu Nelissa Nizam, Aydeel Idham dan Arfie Shah.

Mereka digandingkan dengan beberapa pelakon berpengalaman antaranya Zul Huzaimy, Datuk Seri Eizlan Yusof, Dynas Mokhtar, Fad Bocey dan ramai lagi.

Nelissa, Aydeel dan Arfie melahirkan kebanggaan apabila terpilih membintangi sekuel filem yang pernah mendapat kutipan pecah panggung RM 2.06 juta, satu jumlah yang dianggap cukup besar ketika itu.

Nelissa, 27, sudah terbabit dengan empat filem arahan Ahmad Idham dan meluahkan rasa gembira melakonkan watak aksi dalam filem ini.

“Filem ini dah ada kelompok peminat tersendiri. Jadi, dah tentu sedikit sebanyak ada tekanan untuk saya memberikan hasil terbaik untuk watak Gia. Peminat tentunya menyimpan harapan tinggi agar lakonan saya menghiburkan.

“Saya serta pelakon lain pun dah memberikan yang terbaik dan harapnya peminat suka. Saya pun teruja dan tak sabar sebab jujurnya ini adalah kali pertama saya melakukan aksi ‘drift’ sendiri.

“Kami belajar sebelum shooting. Mujurlah ada tenaga profesional yang beri tunjuk ajar sebelum penggambaran berlangsung. Banyak juga ilmu yang saya belajar,” katanya.

Nelissa berkata, dia sejujurnya agak berdebar untuk menantikan filem ini untuk melihat respon peminat terhadap lakonannya.

“Saya rasa ada kemahiran baru dalam karier sekarang. Syukur juga sewaktu penggambaran tiada insiden tak diingini yang berlaku kerana kami dijaga dengan baik.

“Boleh dikatakan saya pertaruhkan nyawa untuk filem ini. Malah, boleh dikatakan semua pihak berhati-hati,” katanya.

Lahir dalam keluarga seni bukan jaminan untuk Aydeel, 21, terbabit dalam lakonan. Anak kedua Ahmad Idham yang memegang watak Tata ini sebaliknya perlu menjalani sesi uji bakat dengan ayahnya sendiri serta beberapa individu lain.

“Saya tak bersandar pada kabel atau nama ayah semata-mata dan cuba mencari tapak sendiri dalam lakonan. Tak dinafikan setiap minggu saya tengok sendiri suasana di set penggambaran.

“Lama-lama saya jadi jatuh cinta. Bagaimanapun, ayah beri syarat supaya menamatkan pengajian terlebih dahulu sebelum ceburi lakonan.

“Saya lebih suka bermula daripada bawah. Biarlah sesusah manapun cabarannya, saya tetap tempuhi,” katanya.

Menurutnya, tiada layanan istimewa diberikan, malah ayahnya tetap tegas dan profesional di lokasi.

“Papa sangat tegas di set. Walaupun saya anak dia, layanan tetap sama macam pelakon lain.

“Kadang-kadang dia garang, tapi saya faham semua itu untuk kebaikan. Saya ambil setiap teguran sebagai satu proses pembelajaran,” katanya.

Arfie Shah, 32, pula berkata, semasa kecil dia sering mengikuti filem arahan Ahmad Idham dan tanpa disangka dia akhirnya diberi tanggungjawab membawakan watak Rudy dalam filem ini.

“Perasaan saya amat terkejut apabila dia pilih pelakon baru seperti saya untuk satu karya yang besar ini. Paling seronok apabila dia kata, saya kena jadi diri sendiri saja untuk filem ini.

“Kami sebenarnya memang ada ‘follow’ satu sama lain di Instagram. Abang Idham tertarik ambil saya berlakon selepas tengok lakonan saya dalam filem X-Change bergandingan dengan Datuk Rosyam Nor.

“Mungkin disebabkan itu, dia nampak ada potensi dekat saya. Untuk filem ini pun, babak drift dan aksi saya buat sendiri,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top