Orlando, Amerika Syarikat: Jurulatih Manchester City, Pep Guardiola, berkata beliau memahami pandangan Jurgen Klopp selepas bekas pengendali Liverpool itu menyifatkan Piala Dunia Kelab sebagai ‘idea paling teruk pernah dilaksanakan dalam bola sepak’.
Namun begitu, jurulatih dari Catalonia itu turut menyatakan beliau mahu pasukannya menjuarai kejohanan FIFA yang mendapat banyak kritikan itu dan berlangsung di Amerika Syarikat pada musim panas.
Beliau juga menegaskan kebanyakan kritikan datang daripada pasukan-pasukan yang tidak layak ke kejohanan tersebut.
Klopp, yang kini memegang jawatan sebagai ketua bola sepak global Red Bull, memberitahu akhbar Jerman Welt am Sonntag bahawa jadual padat menyebabkan pemain tiada masa untuk pulih secara mental dan fizikal, dan beliau amat bimbang akan risiko kecederaan.
“Jurgen, kami pernah bertarung bersama banyak kali, saya tahu dari mana datangnya idea itu, kami sering berjuang di England, semasa menghadiri mesyuarat UEFA, terutamanya berkaitan Liga Perdana Inggeris berkenaan jadual perlawanan, untuk cuba tingkatkan kualiti,” kata Guardiola kepada wartawan.
“Jadi pemain dan pengurus boleh berehat, dan kualitinya lebih baik. Jadi saya tidak terkejut, saya faham dia, saya hormati dia.
“Saya ada hubungan yang sangat baik dengan Jurgen, walaupun kami adalah pesaing. Saya faham hujah dia, kerana saya juga akan pertahankan hujah itu.”
Pasukan kendalian Guardiola kini berada di pusingan 16 terakhir kejohanan dan akan menentang pasukan Arab Saudi, Al-Hilal di Orlando, esok.
Guardiola berkata walaupun kejohanan itu menerima pelbagai kritikan, beliau tetap bangga dapat menyertainya dan berpeluang memenanginya.
“Pada masa yang sama, ini adalah kerja kami. Kami patuh kepada FIFA, UEFA, Liga Perdana Inggeris, Serie A, pengurus bukan orang yang menyusun kejohanan, semua orang ada peranan masing-masing, dan mereka yang uruskan kejohanan,” kata Guardiola lagi.
“Saya banyak kali katakan, saya sangat bangga untuk berada di sini, kerana hakikatnya ramai pasukan yang mengeluh tentang kejohanan ini adalah kerana mereka tidak layak ke sini.
“Kalau mereka layak, mungkin mereka akan gembira berada di sini. Media mereka akan berada di sini, penyokong mereka akan berada di sini, mereka akan mendapat pendapatan di sini, dan mereka pasti gembira jika turut serta.”
Manchester City memenangi enam daripada lapan kejuaraan Liga Perdana Inggeris yang lalu, manakala Liverpool memenangi dua, termasuk musim lepas.
Jurulatih England, Thomas Tuchel, berkata Liverpool yang kini dikendalikan Arne Slot serta Arsenal mempunyai kelebihan berbanding City untuk musim akan datang kerana mereka mendapat rehat musim panas.
“Saya cuba untuk tidak terlalu memikirkannya, kalau tidak saya akan jadi terlalu cemas,” tambah Guardiola.
“Jadi saya cuba untuk bertenang, nikmati masa di sini, suasana baik yang kami ada dan cuba untuk memenangi kejohanan ini.”
© New Straits Times Press (M) Bhd