Ratu Irama Tradisional, Noraniza Idris meluahkan rasa kecewa apabila produk muruku keluarannya, Che Ani Premium, didakwa telah diciplak oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Menurut Noraniza, produk tiruan tersebut yang dipercayai dipasarkan secara runcit di kawasan kampung, menggunakan pembungkusan yang hampir menyerupai Che Ani Premium termasuk warna, typography dan nama yang hampir sama iaitu Cik Annie.
“Saya berusaha membina jenama ini dengan penuh kasih dan komitmen. Bila ada yang sewenang-wenangnya meniru, ia bukan sekadar menciplak produk seolah-olah ia menciplak perjuangan saya.
“Kalau nak ikut jejak saya, ikutlah dengan cara yang betul, bukan ambil jalan pintas dengan meniru rupa dan nama produk kami. Rezeki itu luas, tapi kalau cari rezeki dengan mencuri hasil titik peluh orang lain, itu bukan cara yang berkat,” tegas Noraniza yang juga pengasas Che Ani Premium.
Isu ini mendapat perhatian selepas satu video tular di TikTok menunjukkan pengarah urusan Che Ani Premium, Afiq Haikal, membuat tinjauan ke sebuah kedai runcit yang didakwa menjual produk tersebut.
“Sepatutnya tak boleh sama macam ni. Saya dapat panggilan daripada kawan mengatakan ada produk seakan-akan Che Ani Premium dijual dengan harga RM5 sepek,” jelas Afiq dalam video tersebut.
Bagaimanapun, pemilik kedai berkenaan tidak memberikan kerjasama apabila ditanya tentang sumber produk tiruan itu.
“Saya ambil kat mana, abang tak payah tahulah. Itu hal saya. Abang tak nak beli, tak apa. Ini saya punya,” tegas peniaga terbabit.
Dalam pada itu, Noraniza memaklumkan bahawa pihaknya kini sedang memberi tumpuan kepada penambahbaikan dari segi bentuk dan rasa muruku.
Namun begitu, mereka masih mengekalkan pembungkusan sedia ada buat sementara waktu kerana masih mempunyai baki stok sebanyak 10,000 unit.
“Disebabkan produk kita diciplak, kami rancang untuk tukar bentuk muruku dan pembungkusan baharu. Tapi kos packaging baharu sangat tinggi, jadi kami habiskan stok lama dahulu.
“Walaupun bentuknya masih panjang-panjang dan jenis jejari, berat dan rasa tetap sama. Malah, kami akan pastikan rasa lebih sedap dari sebelumnya,” katanya.
Sempena ulang tahun kedua Che Ani Premium yang akan diraikan pada bulan Julai ini, pihak syarikat turut mengumumkan promosi istimewa untuk pelanggan setia.
Antaranya, 100 pembeli terawal Set Kotak Warisan akan menerima satu pek percuma perisa kari. Che Ani Premium juga kini sedang menghabiskan stok muruku berbentuk bulat dan akan beralih sepenuhnya kepada bentuk panjang selepas ini. Pelanggan boleh mendapatkan Mix Combo (3 pek) pada harga promosi RM18.