am@hmetro.com.my
Port Dickson: Pemuda maut selepas motosikal ditunggang bergesel dengan motosikal lain di Kilometer 23.6 Lebuhraya Seremban – Port Dickson (SPDH) hari ini.
Superintendan Maslan Udin berkata, kejadian berlaku pada 7.45 pagi ketika mangsa berusia 19 tahun dan sebuah lagi motosikal ditunggang anggota tentera berumur 32 tahun dari arah Seremban menghala Port Dickson.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, mangsa yang menunggang Yamaha 135LC didakwa cuba memotong motosikal SYM ditunggang anggota tentera menyebabkan kedua-duanya hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan.
“Mereka terjatuh di bahu jalan dan mangsa meninggal dunia, manakala anggota tentera cedera di lutut dan tangan.
“Setakat ini tiada tangkapan dibuat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) AKTA Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Syed Mohamad Naim di talian di 014-5030810.
© New Straits Times Press (M) Bhd




