UPSI kuasa baharu olahraga

UPSI kuasa baharu olahraga

sukan@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Universiti Putra Malaysia (UPM) sebelum ini dikenali sebagai ‘kuasa besar’ acara olahraga pada setiap kejohanan peringkat universiti tempatan.

Bagaimanapun skrip itu berubah 360 darjah apabila Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kini setanding dengan UPM selepas masing-masing mengumpul 12 pingat emas pada Kejohanan Varsity Track & Field (VTF) Sirkit 2 yang melabuhkan tirainya di Stadium Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), semalam.

Malah dalam acara trek, kontinjen UPSI berjaya meraih 11 pingat emas berbanding hanya empat emas diraih atlet UPM.

Paling menyerlah atlet meningkat naik, Danish Iftikhar Muhammad Roslee berjaya memecah rekod kejohanan acara 100 meter (m) dengan catatan masa 10.32 saat (s) iaitu hanya ketinggalan 0.23 s berbanding rekod kebangsaan 10.09s milik pelari sensasi negara, Muhammad Azeem Fahmi.

Atlet UPSI yang hadir dengan keazaman yang tinggi turut cemerlang selepas menyapu bersih pingat emas dalam acara 100m dan 200m wanita dan 400m lari berpagar lelaki dan wanita.

Kontinjen turut menguasai acara 4x100m lelaki, wanita dan campuran serta 4x400m campuran, selain cemerlang merangkul pingat emas dalam acara 5,000m wanita, 10,000 jalan kaki lelaki serta lompat tinggi wanita untuk menyamai kutipan emas dengan UPM.

Kejayaan yang dilakar kontinjen UPSI itu terutama dalam acara trek membuktikan atlet mereka mempunyai potensi yang besar untuk menyinar di pentas kebangsaan.

Penyelaras pasukan olahraga UPSI, Profesor Madya Dr Thariq Khan Azizuddin Khan berkata, kejayaan itu tidak datang bergolek tanpa usaha keras daripada semua pihak terutama atlet itu sendiri.

“Latihan yang sistematik dan sokongan berterusan daripada pihak pengurusan sukan universiti, pensyarah, jurulatih serta keluarga adalah faktor utama kejayaan atlet UPSI.

“Lagipun kami tidak letak tekanan untuk memburu juara keseluruhan, hanya fokus kepada peningkatan prestasi atlet, Alhamdulillah ramai yang menyerlah dengan melakar catatan terbaik dalam VTF sirkit 2 ini walaupun kami tidak jangka.

“Danish Iftikhar yang baharu berusia 18 tahun adalah contoh atlet yang berpotensi untuk diketengahkan, kami yakin dia mampu menyertai skuad pelapis kebangsaan bersama Muhammad Azeem pada masa akan datang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top