M. Nasir Kembali Gegarkan Axiata Arena Dengan ‘Konsert Cipta 3 – Malam Ini Gua Rock!’

M. Nasir Kembali Gegarkan Axiata Arena Dengan ‘Konsert Cipta 3 – Malam Ini Gua Rock!’

Penyanyi legenda, Datuk M. Nasir bakal kembali menghiasi pentas Axiata Arena, Kuala Lumpur pada 27 September 2025 menerusi konsert terbaharu “DATO’ M. N46IR CIPTA 3”, sekali gus melengkapkan trilogi konsert berskala besar yang dimulakan sejak tahun lalu.

Menariknya, konsert kali ini tampil dengan konsep segar bertemakan “Malam Ini Gua Rock”, menyaksikan M. Nasir membawa peminat mengimbau karya-karya rock popular ciptaan dan nyanyiannya yang pernah mewarnai dunia muzik tempatan.

Konsert ‘CIPTA’ terdahulu iaitu M. N45IR CIPTA pada Ogos 2024 dan CIPTA 2 pada Oktober 2024 masing-masing berjaya menarik ribuan penonton. Bahkan, ‘CIPTA 2’ meninggalkan detik manis apabila M. Nasir menutup konsert dengan lagu raya sambil ‘menghujani’ penonton dengan wang kertas RM1 berjumlah RM10,000.

Rentetan sambutan luar biasa itu, satu lagi konsert khas berjudul M. N45IR CIPTA RAYA telah dilangsungkan pada April 2025, memfokuskan sepenuhnya kepada lagu-lagu raya ciptaannya.

Namun Icon Entertainment selaku penganjur tidak mahu berhenti setakat itu. Menurut Iman Tang selaku pengasas syarikat tersebut, ‘CIPTA 3’ hadir dengan kejutan berbeza yang bakal mengujakan peminat.

“Ya, Icon Entertainment kembali dengan M. N46IR CIPTA 3. Mungkin ada yang mengeluh ‘konsert M. Nasir lagi’, atau ‘nyanyi lagu apa pula kali ini’ atau ‘M. Nasir sudah tidak eksklusif’ kerana penganjuran trilogi konsert, tetapi percayalah M.N46IR CIPTA 3 akan memberi kejutan baharu buat peminat.

“Sama seperti penganjuran CIPTA 1 dan CIPTA 2 yang berbeza, tentu sahaja peminat tidak akan rasa membazir untuk melaburkan duit lagi untuk M. N46IR CIPTA 3. Kerana apa? Pertama tentu kerana karisma sang legenda. Kedua kerana konsep Malam Ini Gua Rock yang cukup dekat dengan M. Nasir. Sifu adalah ‘arkitek’ yang mencipta banyak lagu rock popular tanah air sehingga harum dalam dunia muzik nusantara,” katanya.

Antara karya yang bakal mengisi senarai persembahan termasuk lagu-lagu ikonik seperti Pawana, Intanku Kesepian dan Sejati yang bukan sahaja dirakamkan oleh dirinya sendiri malah pernah dipopularkan oleh kugiran terkenal seperti Wings dan Search.

“Semua pun tahu, M. Nasir bukan hanya penyanyi yang menyanyikan karya peribadi tetapi dia adalah pencipta untuk kebanyakan lagu popular kugiran atau penyanyi lain.

“Sebagai contoh, kita kenal lagu Sejati atau Intanku Kesepian milik Wings, tetapi M. Nasir adalah pencipta lagu rock yang menjadi siulan buat kebanyakan peminat.

“Bagaimana bunyi lagu-lagu rock yang pernah popular ini dipersembahkan M. Nasir dalam ‘bentuk seni’ tersendiri? Konsert M N46IR CIPTA 3 akan mencipta momen ajaib itu,” kata Iman lagi.

Sementara itu, M. Nasir sendiri menyifatkan konsert kali ini sebagai satu bentuk perayaan khas untuk peminat rock dan penghargaan kepada perjalanan trilogi konsert yang telah dilaksanakannya sejak tahun lalu.

“M. N46IR CIPTA 3 adalah keraian. Keraian dalam cara rock,” katanya ringkas.

Peminat juga disarankan untuk hadir dengan berpakaian mengikut tema “Rock Cara Lu… Janji Rock”, sebagai simbolik kepada ekspresi diri dan kebebasan dalam menjiwai muzik rock mengikut gaya masing-masing.

Bagi yang tidak mahu terlepas peluang menjadi sebahagian daripada saksi sejarah ini, pra-jualan tiket akan dibuka khas kepada pengguna aplikasi Etiqa+ pada 3 Julai 2025, jam 2.00 petang, manakala jualan rasmi kepada umum bermula 4 Julai, jam 11.00 pagi.

Tiket boleh didapati menerusi laman sesawang www.ticket2u.com.my/mnasircipta3 atau menerusi talian hotline WhatsApp di 012-6530 700.

Scroll to Top