MALAYSIA diiktiraf sebagai destinasi pelancongan perubatan nombor satu dunia bagi tahun 2025, mengatasi negara terkenal seperti Thailand, Singapura dan Turkiye.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pencapaian tersebut membuktikan keyakinan antarabangsa terhadap sistem kesihatan negara yang menawarkan rawatan berkualiti tinggi pada kos berpatutan.
“Pengiktirafan itu diberikan oleh firma global berpangkalan di Dubai, Nomad Capitalist, yang meletakkan Malaysia di tangga teratas berdasarkan kepakaran perubatan, kemudahan bertaraf antarabangsa dan layanan mesra berteraskan nilai murni masyarakat Malaysia.
“Hal ini menjadikan negara ini pilihan utama pelancong kesihatan dari seluruh dunia,” katanya ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Bangunan Tambahan Columbia Asia Hospital – Seremban (CAH-S), baru-baru ini.
Turut hadir Ahli Parlimen Rasah, Yang Berhormat Tuan Cha Kee Chin; Exco Kesihatan, Perpaduan, Penerangan dan Integrasi Nasional Negeri, Datuk Hajah Tengku Zamrah Tengku Sulaiman; Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan merangkap ADUN Bukit Kepayang, Yang Berhormat Nicole Tan Lee Koon; Datuk Bandar Seremban, Datuk Masri Razali; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim; dan Ketua Pegawai Eksekutif/Ketua Pengarah Asia OneHealthcare Group, Dr Chan Boon Kheng.
Hadir sama dari pihak CAH-S ialah Ketua Pegawai Eksekutif Serantau, Lee Hui Chuen; Ketua Pegawai Eksekutif, Alice Chong; Ketua Perkhidmatan Perubatan, Dr Lee Ming; dan Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Perubatan, Datuk Dr Anthony Gilbert.
Aminuddin berkata, pertambahan fasiliti kesihatan tersebut juga adalah selari dengan pertumbuhan pesat Seremban dan peningkatan populasi yang semakin ketara dari tahun ke tahun.
Pada masa sama, kerajaan negeri Sembilan juga sentiasa meletakkan kesihatan sebagai salah satu agenda utama dalam kebajikan rakyat.
Menurut beliau, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Sembilan termasuk pemberian bantuan Implan Ortopedik dan bantuan rawatan pembedahan AV Fistula bagi pesakit kurang berkemampuan.

Columbia Asia Hospital – Seremban mencatat detik penting apabila memulakan projek pecah tanah bagi bangunan hospital baharu, satu projek pengembangan utama yang bertujuan menyatukan dan meningkatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan untuk Negeri Sembilan.
“Menerusi Belanjawan Negeri 2025, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM500,000 bagi setiap jenis bantuan ini untuk meringankan beban pesakit dalam mendapatkan rawatan di hospital kerajaan di Negeri Sembilan.
“Sementara bagi tahun 2024, sebanyak RM433,500 telah disalurkan kepada 77 pesakit bagi tujuan pembiayaan implan, alat sokongan dan rawatan ortopedik,” katanya.
Sehingga 20 Jun 2025, sejumlah RM81,270 telah diagihkan kepada 15 penerima untuk tujuan yang sama.
“Bagi bantuan pembedahan AV Fistula tahun 2024 pula, seramai 130 pesakit telah menerima pemasangan AV Fistula dengan kos berjumlah RM359,813.
“Untuk tahun 2025, sehingga 20 Jun, sebanyak RM168,000 telah diagihkan kepada 60 penerima, khusus bagi pesakit hemodialisis yang memerlukan pemasangan AV Fistula,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Asia OneHealthcare, Dr Chan Boon Kheng berkata, inisiatif pelaburan ini mencerminkan komitmen untuk menyediakan penjagaan kesihatan berkualiti tinggi dan mudah diakses oleh komuniti Seremban dan kawasan sekitar.
“Dengan pembangunan pesat dalam lingkungan 15 kilometer dan keperluan kesihatan yang semakin kompleks, pengembangan ini akan meletakkan Columbia Asia Hospital – Seremban sebagai hab pakar sehenti bagi rawatan tertiari lanjutan.
“Bangunan baharu setinggi 13 tingkat ini akan meliputi kira-kira 68,000 meter persegi dan akan menyatukan sayap Utara dan Selatan hospital yang sedia ada kepada satu struktur,” katanya.
Menurut beliau, lebih 650 petak letak kereta akan disediakan demi keselesaan pelawat.
CAH-S ditubuhkan pada tahun 1999 sebagai salah sebuah hospital swasta terawal di rantau ini dan dalam tempoh 25 tahun telah berkembang daripada satu bangunan kepada dua sayap dengan 114 katil dan 60 pakar perubatan.
Pembinaan bangunan hospital baharu ini dijangka siap menjelang tahun 2028 dan akan mula beroperasi sepenuhnya pada tahun 2029.
Ia turut melibatkan penubuhan Pusat Onkologi yang akan menawarkan perkhidmatan Radioterapi dan Kemoterapi di bawah satu bumbung.
Hospital ini juga akan menempatkan pusat dialisis yang dilengkapi teknologi diagnostik pengimejan terkini termasuk PET-CT bagi meningkatkan ketepatan dalam pengesanan dan perancangan rawatan kanser.