Seoul: Rakyat Korea Selatan dijangka menikmati 118 hari cuti pada 2026, berkurangan sehari berbanding tahun ini.
Menurut laporan The Korea Herald yang memetik garis panduan kalendar dikeluarkan Pentadbiran Aeroangkasa Korea (KASA) pada 7 Julai lalu, jumlah itu merangkumi cuti hujung minggu dan umum.
Daripada jumlah itu, 52 hari cuti adalah Ahad, manakala 20 hari lagi cuti umum termasuk cuti gantian, menjadikan jumlah cuti bagi pekerja dengan sistem kerja lima hari seminggu kepada 72 hari.
Namun, dua cuti penting iaitu Hari Gerakan Kemerdekaan (1 Mac) dan Hari Wesak jatuh pada Ahad, menyebabkan bilangan cuti sebenar hanya 70 hari.
Cuti terpanjang ialah sambutan Tahun Baharu Cina yang akan berlangsung selama lima hari dari 14 hingga 18 Februari.
Sekiranya cuti umum digabungkan dengan hujung minggu, rakyat Korea Selatan sepatutnya menikmati 122 hari cuti.
Bagaimanapun, disebabkan beberapa cuti jatuh pada hari Sabtu, jumlah efektif cuti adalah 118 hari sahaja.
Tahun 2026 juga akan menyaksikan lapan tempoh cuti panjang yang merangkumi sekurang-kurangnya tiga hari termasuk cuti Chuseok (24 hingga 27 September).
Selain itu, lima hujung minggu panjang tiga hari turut dijangka termasuk Hari Asas Negara (National Foundation Day) dan Hari Krismas.
© New Straits Times Press (M) Bhd



