Dortmund mara, tundukkan Monterrey dalam aksi mendebarkan

Dortmund mara, tundukkan Monterrey dalam aksi mendebarkan

Atlanta: Borussia Dortmund mara ke suku akhir Piala Dunia Kelab selepas menewaskan Monterrey 2-1 dalam perlawanan penuh debaran di pusingan 16 terbaik yang berlangsung di Mercedes-Benz Arena, sebentar tadi.

Dua penyudah klinikal daripada Serhou Guirassy pada minit ke-14 dan 24 meletakkan Dortmund selesa di hadapan sebelum kelab Mexico itu merapatkan jurang menerusi jaringan German Berterame seawal minit ke-48, sekali gus mencetuskan kebangkitan dramatik separuh masa kedua.

Namun, benteng pertahanan wakil Jerman itu berjaya bertahan hingga tamat permainan untuk mengesahkan pertemuan berprofil tinggi menentang juara Eropah 15 kali, Real Madrid di New Jersey, Ahad ini.

Bagaimanapun, pertemuan itu tidak akan menyaksikan pertembungan dua beradik Bellingham apabila Jobe Bellingham digantung perlawanan selepas menerima kad kuning pada minit ke-28.

“Ia satu perlawanan yang sukar. Mereka pasukan berpengalaman dan berbahaya,” kata penyerang Guinea itu.

“Tapi kami bermula sangat baik di separuh masa pertama. Separuh masa kedua lebih mencabar, namun kami kekal fokus dan akhirnya menang, semua pemain gembira malam ini.”

Aksi bermula dalam tempo tinggi dengan banyak terjahan keras dan beberapa cubaan jarak jauh oleh pemain Monterrey, termasuk rembatan bahaya Nelson Deossa.

Namun Dortmund mengambil alih seawal minit ke-14 apabila Guirassy menyempurnakan hantaran satu dua dengan Karim Adeyemi untuk merembat deras menewaskan Esteban Andrada.

Beberapa minit kemudian, Guirassy sekali lagi menemui jaring hasil gerakan pantas selepas Julian Ryerson memenangi bola dan melakukan hantaran jauh kepada Adeyemi, yang kemudiannya melorongkan bola mudah kepada Guirassy untuk gol kedua Dortmund.

Guirassy sepatutnya melengkapkan hatrik sebelum rehat tetapi mensia-siakan dua peluang keemasan hasil hantaran Jobe Bellingham dan Pascal Gross.

Monterrey bangkit garang sebaik babak kedua bermula dan berjaya merapatkan kedudukan apabila Jesus Corona melintangkan bola yang ditanduk semula oleh Erick Aguirre ke arah Berterame untuk gol cantik dari jarak dekat.

Beberapa pertukaran pemain pada minit ke-70 membantu Dortmund menenangkan permainan dan Guirassy kembali mencipta dua peluang separa tetapi gagal menyempurnakannya.

Sergio Ramos, yang mengimpikan aksi menentang bekas kelabnya Real Madrid, hampir menjadi wira apabila tandukannya pada minit terakhir terkena tiang, namun impian dramatiknya tidak menjadi kenyataan.

“Saya sepatutnya jaringkan sekurang-kurangnya tiga gol,” kata Guirassy yang dinamakan Pemain Terbaik Perlawanan.

“Perlawanan menentang Real pasti sukar, tapi kami akan bersedia sepenuhnya.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top